Luahan individu tentang murid darjah 1 yang tak boleh membaca cetus perdebatan Ibu Bapa

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah tangkap layar tular di media sosial selepas seorang individu meluahkan rasa bimbang terhadap kemampuan murid-murid sekolah rendah untuk membaca, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Dalam tangkap layar yang dimuat naik ke Facebook, seorang pengguna bernama msyyhmi menggesa ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik anak-anak sebelum memasuki alam persekolahan.

“Ibu bapa generasi sekarang, tolong lah jalankan pendidikan tak rasmi di rumah. Ajar anak anda membaca, menulis dan mengira. Ramai betul budak-budak tak boleh membaca sekarang ni. Betul-betul ganggu proses PdP kelas,” katanya.

Luahan itu mendapat sokongan daripada seorang lagi pengguna bernama husna_nananana yang berkongsi realiti kelas yang dikendalikannya.

“Betul. Kelas saya tahun 1, 23/32 tak boleh membaca,” tulisnya sambil menambah emoji kecewa.

Paparan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Ada yang menyokong pandangan guru tersebut dan mengakui pentingnya pendidikan asas dilakukan di rumah.

Malah, ada ibu bapa yang berkongsi mereka menghantar anak seawal usia lima tahun ke pusat tuisyen untuk memastikan mereka pandai membaca sebelum masuk darjah satu.

Namun, tidak kurang juga yang berpendapat bahawa tugas mendidik anak membaca sepatutnya menjadi tanggungjawab guru di sekolah.

Seorang ibu dalam komen balas berkata, “itu tugas guru, kami kat rumah mengajar ikut kami termampu. Janganlah anggap anak-anak tak reti membaca sebab mak bapa tak ajar. Mengganggu proses Pd]? Jadi kami hntar anak-anak pergi sekolah untuk apa sebenarnya..”.

Isu ini turut membuka ruang perbincangan tentang beban tugas guru, tahap kesediaan murid sebelum memasuki alam persekolahan, serta peranan bersama antara ibu bapa dan pendidik dalam membentuk asas pendidikan kanak-kanak.

Dalam situasi ini, ramai pengguna media sosial mencadangkan agar ibu bapa mencari alternatif terbaik supaya anak-anak sekurang-kurangnya boleh mengenal huruf dan mengeja.

Baca juga: Peniaga curi perhatian jual cendol harga tak masuk akal, bayar RM1 dapat semangkuk penuh!