Menunaikan ibadah umrah di tanah suci membuatkan Nur Alesha Ammara begitu teruja hingga meluahkan keinginan untuk tidak lagi pulang ke Malaysia.
Namun siapa sangka, permintaan kanak-kanak yang berusia empat tahun itu menjadi kenyataan apabila Alesha disahkan meninggal dunia di Madinah, minggu lalu.
Bapanya, Mohamad Amirul Zulkafly berkata, kanak-kanak itu meluahkan hasratnya sejurus tiba di hotel sebelum mengerjakan umrah 5 Februari lalu.
Menurut Amirul, mereka memulakan perjalanan pada hari jadi Alesha iaitu 4 Februari bersama isteri, seorang lagi anaknya beserta 18 orang ahli keluarga yang lain.
“Terima kasih Mummy, terima kasih Abah belikan Nur Alesha ‘rumah baru’. Alesha tak nak balik boleh tak?,” ucap anaknya kepada dia dan isteri, Nur Ashwa Johalim.
Lebih menyayat hati, anak keduanya itu turut meminta untuk dibelikan sepasang jubah putih sewaktu berada di Mekah.
“Pada mulanya tak perasan, selepas Nur Alesha dikebumikan baru kami sedar semua ucapan dan kegembiraannya seperti petanda yang dia akan meninggalkan kami.
“Apa yang berlaku ni seolah-olah kami ke Tanah Suci bukan saja untuk beribadah malah untuk hantar Nur Alesha bertemu penciptanya,” luah Amirul.
Tambah Amirul, sebelum dibawa ke hospital, anaknya itu tiba-tiba sahaja demam setelah berkujung dari Jannatul Baqi’ yang berada di sebelah masjid Nabawi.
Alesha kemudian menghembuskan nafas terakhir pada hari ketiga di hospital akibat jangkitan kuman di bahagian otak.
Kanak-kanak empat tahun itu digambarkan sangat bertuah oleh bapanya kerana dikebumikan di Jannatul Baqi’ yang membawa maksud Taman Syurga.
Baca juga: Sempat batal penerbangan keluar Turkiye, jasad bekas pemain Chelsea ditemukan di bawah runtuhan