Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menganggap kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Pas melupakan kerjasama politik dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) pada PRU-15 hanya pandangan peribadi Presiden Umno itu.
Beliau juga menyifatkan bukan hal yang menjadi masalah untuk Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) dan MN.
“Walaupun Umno buat macam tu dekat kita (Pas), kita tidak simpan dendam dalam hati. Orang tuduh Pas macam-macam kerana ada dalam MN dan bersama Pakatan Nasional (PN). Jadi, apa masalah Pas ada dalam PN dan MN?
“Pas juga memikirkan kepentingan ummah kerana mahu halang Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Mengikut pengalaman sebelum ini, sudah perit 22 bulan dengan PH,” dipetik BH.
Untuk rekod, Pas bertindak bersama Bersatu iaitu ‘musuh’ Umno menerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, buat masa ini kenyataan berhubung status Umno dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu hanya sekadar pandangan individu.
Jelasnya, Pas sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi kepentingan bangsa dan agama.
“Pas sentiasa terbuka untuk bersama-sama Umno dan boleh duduk berbincang asalkan ia membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Umno boleh nilai semula pendirian mereka sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan Pas,” katanya.
Pada 7 Mei lalu, Ahmad Zahid menyifatkan Pas sebagai bersikap talam dua muka dan menolak sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menganggap Pas “siang cakap lain dan malam berubah bercakap lain pula apatah lagi esoknya.”
Baca juga Umno tidak patut suruh Pas pilih antara dua, kata Mohd Amar