M.Kayveas perlu minta maaf secara terbuka, kata Ketua Penerangan MIC

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Punithan Paramsiven mahu Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas menyatakan permohonan maaf terbuka kepada barisan kepimpinan MIC kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman dan merendahkan kreadibiliti pemimpin MIC terhadap kaum India.

Jika Kayveas gagal berbuat demikian, Pemuda MIC akan mengadakan ‘perang siber’ terhadap MyPPP untuk membantah  kenyataan yang dikeluarkan oleh Kayveas.

“ Saya ingin merakamkan kekecewaan berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Presiden myPPP, Tan Sri M.Kayveas.

“Saya tidak menjangka sebagai seorang pemimpin beliau telah membuat kenyataan yang merendahkan kedudukannya sebagai pemimpin di mata masyarakat.

“MyPPP yang dulu dikenali sebagai People Progressive Party (PPP) telah melalui penjenamaan untuk kekal relevan.

“Malangnya usaha penjenamaan semula untuk kekal relevan  itu amat terdesak untuk mendapatkan sokongan ahli dengan kenyataan Kayveas baru-baru ini.

““Saya percaya ia adalah satu peluang kepada jentera parti itu untuk tidak patuh kepada Kayves,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Justeru beliau menasihati agar Ketua Pemuda myPPP, Sathiah Sudhakaran, melihat semula permasalahan dalaman partinya sendiri yang mempertahankan presiden membuta tuli.Punitan menyarankan agar Sathiah  meneladani kepimpinan Ketua Pemuda MIC di bawah C. Sivarahj dan Timbalannya, R.Thinalan.

“Kami Pemuda MIC ingin menyeru agar ahli parti itu tidak perlu mempertahankan Kayveas. Jika tidak kita akan mengisytiharkan perang siber di seluruh negara menentang Kayveas sehingga dia menarik balik kata-katanya  dan meminta maaf dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.” Ujarnya.

Kayveas dilaporkan telah membangkitkan persoalan ke mana wang agihan yang diberikan oleh Presiden BN, Datuk Seri Najib kepada masyarakat India ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung MyPPP Kali Ke-62 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad lalu.

Namun kenyataan itu mengundang kekecewaan dikalangan pemimpin MIC antaranya, Pengarah Komunikasi dan Biro Hubungan Awam MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, Ketua Pemuda C. Sivarraajh dan Ketua Wanita, M.Mohana yang beranggapan Kayveas telah memburuk-burukkan parti yang mendokong kaum India terbesar di negara ini demi kepentingan politiknya.

Bagaimanapun Kayveas menafikan kenyataan itu ditujukan kepada pimpinan MIC. Beliau hanya membangkitkan persoalan di mana wang agihan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada masyarakat India di luar sana dan beliau tertanya-tanya sama ada mereka terima ataupun tidak tanpa merujuk pada mana-mana parti.