Macam ada sesuatu bergerak dalam perut, ingatkan lapar rupanya tak sedar hamil lapan bulan

Oleh KIM SYAZIE

Lapan tahun bukanlah jangka masa yang pendek buat pasangan yang menginginkan cahaya mata sendiri, lebih mengejutkan wanita ini hanya menyedari dirinya hamil ketika usia kandungan sudah mencapai lapan bulan.

Nor Hidayatul Ilham Mohd Kamaruddin, 28, dan pasangan Helmy Hafiz Ab Aziz, 33, menyambut cahaya mata mereka dengan penuh kesyukuran walaupun tidak menyedari kehadiran nyawa di dalam rahimnya sehingga hampir melahirkan.

Kelahiran puteri sulung mereka, Nur Medina Ilham dilihat sebagai kejutan namun juga sebagai rahmat buat pasangan yang sememangnya menantikan anak.

“Sekitar Mac dan April lalu, saya kerap tidak sihat kerana dijangkiti Covid-19, muntah-muntah juga pening kepala, tetapi tidak terfikir ia disebabkan hamil memandangkan sudah dua tahun tidak datang haid.

“Awal Oktober lalu, saya dapat rasa ada pergerakan pada perut dan bertanyakan pada ibu saudara. Namun dia mengandaikan saya lapar kerana kebetulan sedang dalam fasa diet ketika itu” katanya.

Tidak hanya bergantung pada satu pendapat, wanita tersebut mula bertanyakan kepada ibu saudaranya yang bekerja sebagai jururawat.

“Dia dapat merasakan saya hamil selepas mengusap perut saya.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya lakukan ujian kehamilan sendiri dan terkejut apabila didapati positif hamil. Tengah hari sama, saya pergi ke klinik untuk imbasan dan mendapati kandungan sudah memasuki usia 32 minggu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Nor Hidayatul Ilham pada mulanya tidak menyangka dia hamil kerana memang mengalami masalah hormon dan tidak dapat haid yang teratur.

“Dua tahun pertama perkahwinan, saya ikut saranan doktor untuk hamil, tetapi tiada rezeki kerana berat badan makin bertambah menyebabkan hormon semakin tidak stabil.

“Doktor selalu beri cadangan untuk saya diet dan turunkan berat badan cuma saya baru memulakannya awal tahun in,” katanya sambil memanjatkan kesyukuran doanya dimakbulkan.

Pada masa sama dia turut mendoakan pejuang garis dua lain dikurniakan cahaya mata sepertinya.

Baca juga: Undi percaya 19 Disember, Kor Ming yakin Anwar dapat sokongan besar

Baca juga: BKM, Anwar Ibrahim paling banyak dicari di Google tahun ini