Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akhirnya memberikan respon baginda berhubung tuduhan mengenai serangan asid ke atas pemain Selangor FC iaitu Faisal Halim.
Baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyangkal dakwaan menjadi dalang atau perancang utama kepada insiden yang menimpa Faisal, baru-baru ini.
Mengakui Faisal merupakan seorang pemain bola sepak yang bagus, baginda turut menyifatkan insiden menimpa Tonggak skuad Harimau Malaya itu sangatlah wajar ditentang.
Walau bagaimanapun, baginda menzahirkan rasa kecewa apabila dikaitkan sebagai dalang sedangkan pemain bola terutama Faisal Halim bukanlah sasaran yang perlu ‘dihabiskan’.
“Pertama sekali, Faisal Halim ini adalah budak yang baik. Tetapi saya tak tahu hidup peribadi dia. Namun apa yang terjadi terhadap dia sememangnya wajar untuk kita tentang.
“Tetapi ada apa kena mengena dengan saya? Ada pihak cakap yang Tunku Mahkota Ismail adalah mastermind (simbah asid). Kalaulah saya ini nak habiskan orang, ada sasaran yang lebih besar di dalam negara.
“Contohnya orang yang mengambil duit rakyat atau mereka yang bertanggungjawab rompak hasil duit rakyat. Bagi saya, orang seperti ini yang lebih penjenayah,” titah baginda dalam satu program.
Respon tersebut diberikan baginda dalam program audio siar atau podcast bersama penyokong JDT di mana sesi tersebut sempat dirakam sebelum dimuat naik di laman Facebook, Bola Tribe.
Mengulas lanjut, baginda menegaskan bahawa Faisal Halim bukanlah satu ancaman baginya selain berpendapat serangan simbahan asid merupakan satu tindakan yang ‘lembik’.
“Faisal Halim cuma pemain bola sepak, takkan orang Selangor tak boleh fikir dengan cara rasional. Saya nak habiskan dia buat apa. Saya rasa macam hina juga. Macam bapuk main buang-buang asid.
“Macam lembik main-main buang asid. Kalau nak habiskan orang, kita habiskan terus. Tetapi itulah yang saya cakap, macam manalah orang boleh kaitkan.” Titah baginda lagi.