Hasrat seorang wanita untuk menikmati Tau Fu Faa dibeli di sebuah bazar Ramadan terbantut apabila makanan tersebut didapati sudah basi walaupun belum sempat dijamah.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, wanita itu berkongsikan rakaman menunjukkan keadaan kuah gula merah Tau Fa Faa yang sudah bertukar menjadi lendir disifatkannya seperti hingus.
Wanita itu kemudian meluahkan kekecewaannya dalam hantaran tersebut kerana telah mengeluarkan wangnya untuk membeli Tau Fu Faa namun sayangnya ia langsung tidak boleh dimakan.
Difahamkan, makanan tersebut dibelinya di sebuah bazar Ramadan terletak berdekatan pusat beli-belah terkenal di Shah Alam, Selangor yang mana wanita itu mengakui memiliki gambar gerai peniaga.
Gambar tersebut bagaimanapun belum dikongsikannya kerana merasa serba salah selain khuatir boleh menutup ‘periuk nasi’ atau menjejaskan perniagaan milik penjaja Tau Fu Faa berkenaan.
“Sampai hati kau kakak, ‘scam’ (tipu) aku. Sudahlah aku ini teringin makan Tau Fu Faa. Sudah macam hingus ini, aku tengok. Ikhlaslah sedikit kalau meniaga kakak. Nanti kalau aku muat naik gambar kedai, macam kacau periuk nasi pula.
“Serba salah aku. Kisah Sedih di Bazaar Ramadhan iaitu ‘Taufu Fah Terluka’. Kisah keluh-kesah pembeli di bazaar Ramadhan yang terpaksa berhadapan dengan makanan basi,” katanya dalam perkongsian itu.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu mengakui turut membeli Nasi Kerabu di bazar Ramadan tersebut namun hidangan berkenaan juga tidak dapat dimakan kerana sudah basi walaupun harganya setinggi RM16.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah meraih sebanyak 1.2 juta tontonan dan 30,900 tanda suka dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya meluahkan rasa kesal dengan tindakan peniaga.
Ramai juga pengguna memberi cadangan supaya wanita itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berwajib dengan harapan satu tindakan tegas dikenakan terhadap peniaga agar perkara sama tidak berulang lagi.
Namun wanita terbabit tidak dapat berbuat sedemikian kerana bukan berasal dari Shah Alam sebaliknya hanya singgah di Bazar Ramadan berkenaan ekoran memiliki urusan perniagaan di kawasan berhampiran.
Baca juga: Dikritik sebab ‘berkemban’ dalam muzik video raya, Mimi Fly mohon maaf