Gempar di media sosial semalam mengenai penganjuran sebuah program motivasi kewanitaan yang didakwa turut menyelitkan aktiviti-aktiviti disifatkan tidak bermoral dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Acara yang dilangsungkan pada September tahun lalu di sebuah dewan terletak di Shah Alam, Selangor itu disertai lebih kurang 50 peserta wanita di mana pihak penganjur mengajak para hadirin menanggalkan pakaian.
Pakaian yang dilemparkan dalam acara diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri peserta wanita itu kononnya adalah simbolik membuang semua masalah sehingga ada individu berada dalam keadaan tanpa seurat benang.
Pendedahan mengenai program tersebut turut menarik perhatian penyanyi rap dan aktivis sosial, Caprice yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk membendung aktiviti sedemikian.
Caprice turut memuat naik beberapa tangkap layar yang memaparkan pesanan diterimanya melalui mesej secara terus (DM) di akaun Instagram miliknya daripada bekas pekerja kepada pihak penganjur program tersebut.
Bekas pekerja terbabit mendakwa pernah bertugas ketika program berkenaan diadakan pada tahun 2023 dan tidak menafikan bahawa acara tular itu sememangnya sangat ekstrem sehingga membuat para hadirin terkedu.
“Sebagai pekerja, ingatkan mereka akan tanggal tudung dan pakai seluar pendek sahaja. Tetapi tidak ya. Terutama fasilitator dan ketua program itu, memang seksi sangat. Mereka kemudian akan menari mengikut musik dengan ghairah.
“Semua pekerja baru memang terkejut, macam kejutan budaya sebab majoriti belum kahwin lagi. Salah seorang kawan saya cakap, macam masuk parti liar,” kata pekerja yang tidak didedahkan indentitinya itu.

Bekas kakitangan yang sudah meletakkan jawatan pada tahun lalu itu juga mendedahkan bahawa pihak syarikat penganjur program turut menganiaya pekerja mereka dengan tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).
Terdahulu, tular pendedahan tentang pengasas program motivasi yang merupakan seorang penulis didakwa telah mempergunakan kelemahan peserta yang kecewa, tidak bersemangat dan berada di titik terendah dalam hidup.
Individu terbabit bersama suaminya bukan sahaja telah mencemari program ‘motivasi rumah tangga’ dengan aktiviti tidak bermoral malah turut meminta peserta melakukan perkara bertentangan dengan agama.
Hal ini berikutan peserta diminta untuk mengikuti ritual dinamakan sebagai ‘sacred birth’ atau mandi suci serta ‘rebirth’ (kelahiran semula) yang mana kedua-duanya bertentangan dengan ajaran Islam.

Baca juga: Kontraktor dipenjara sehari, denda RM6k sebab pukul isteri keluar rumah tanpa izin hingga parah