Macam nak lagakan Presiden dan Mursyidul Am, kata ulama Pas

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik berpendapat wujud seperti usaha untuk melagakan Presiden partinya dengan Mursyidul Am.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu berkata, Pas sentiasa bersama-sama kedua-dua badan tersebut berhubung pendirian terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Oleh sebab itu, katanya, beliau terkejut apabila ada dakwaan bahawa pendirian Majlis Syura Ulama (MSU) Pas bercanggah dengan kehendak Pas Pusat.

“Mustahil AJK Pusat tak hormati MSU sebagai badan yang berautoriti dalam Pas.

“Mana mungkin berlaku begitu sebab anggota MSU juga ada Presiden dan Timbalan Presiden.

“Akhirnya, saya simpulkan itu hanya fitnah untuk melagakan MSU dengan AJK Pas Pusat. Sekaligus macam nak melagakan Presiden dan Mursyidul Am,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pas akan pecah berkecai jika konsep kepimpunan ulama tidak dipertahankan.

“Saya yakin sahabat-sahabat dan teman-teman semua selari dengan pendirian saya iaitu jom kita pertahankan Presiden dan MSU.

“Kalau usaha-usaha seperti itu benar-benar wujud maka menjadi tanggungjawab kepada kita semua mempertahankan parti,” ujarnya lagi.