Mahasiswa AMANAH seru anak muda Sarawak keluar mengundi tewaskan GPS

Oleh KIM SYAZIE

Biro Politik dan Mobilisasi Mahasiswa AMANAH Nasional menyeru anak muda dan Mahasiswa Sarawak supaya keluar mengundi dan tewaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mahasiswa AMANAH menegaskan bahawa Sarawak telah lama merdeka akan tetapi isu capaian internet tetap menjadi masalah utama sehingga mengganggu proses pembelajaran atas talian dalamk kalangan pelajar terutamanya mahasiswa.

“Selain itu infrastruktur yang kurang baik khususnya di kawasan luar bandar amatlah tidak kondusif seperti jaringan jalan raya yang tidak memuaskan merupakan penyumbang kepada kurangnya kemudahan yang lain.

“Janji-janji manis yang ditaburkan oleh pihak pemerntah pada setiap kali pilihan raya tidak pernah disertakan dengan tindakan. Sarawak sebetulnya perlu segera keluar daripada tipu helah kerajaan GPS agar Sarawak melaksanakan kemajuan yang sebenar.

“Peluang sekali dalam masa lima tahun untuk memilih pemimpin yang jelas aspirasinya dan kebolehan untuk mengotakan janji haruslah diberi prioriti,” jelas kenyataan tersebut lagi.

Malah semua anak muda dan mahasiswa anak Sarawak diseru supaya keluar mengundi pada 18 Disember serta memilih kerajaan yang stabil dan berwawasan dalam membina negeri Sarawak yang baru dengan lebih membangun.

Justeru katanya, peluang sekali dalam lima tahun seharusnya diambil dengan memberi undi kepada komponen Pakatan Harapan (PH).