Masalah siswa dan siswi di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini, tidak cukup makan perlu dipandang serius oleh kerajaan bagi memastikan IPT di negara ini melahirkan siswazah berkualiti dan berdaya maju.
Pengarah Komunikasi dan Media Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sofi Abd. Wahab berkata, kajian yang menyatakan ramai pelajar makan mee segera lantaran kerana tidak cukup wang, menggambarkan betapa tenatnya masalah kewangan mereka.
“Sudah pasti perkara ini juga mengganggu pembelajaran mereka kerana tidak cukup makan.
“Oleh kerana itu kerajaan khususnya kementerian yang terbabit dan universiti dapat mencari sebab musabab mengapa perkara ini terjadi.
“Adakah disebabkan pinjaman mereka tidak mencukupi atau siswa tersebut boros berbelanja atau mereka menyimpan wang untuk kegunaan lain seperti telefon dan lain-lain.
“Setelah sebab musabab itu diperolehi maka ambillah langkah pembetulan (correction dan corrective action) bagi menyelesaikan masalah ini. Jangan biarkan masalah ini berterusan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Saran beliau mungkin kementerian boleh menggunakan kaedah bayaran bulanan kepada kafeteria atau kantin asrama untuk makanan harian mahasiswa yang mana peruntukan perlu dissediakan kerajaan dalam menyelesaikan masalah itu.
“Kita yakin jika pembaziran, ketirisan dan kelemahan pentadbiran kewangan agensi-agensi kerajaan dapat diatasi, wang-wang tersebut boleh disalurkan untuk membantu mahasiswa yang teraniaya ini.
“Mahasiswa juga mestilah lebih sensitif dan proaktif melaporkan kepada pihak berkenaan tentang masalah mereka.
“Apakah mereka takut untuk melaporkan perkara ini sehingga mereka sendiri menjadi mangsa keadaan.
“Pihak persatuan pelajar khususnya Persatuan Mahasiswa Universiti yang dipilih dalam pilihanraya kampus harus lebih proaktif dan agresif menyelesaikan perkara ini melalui perbincangan dengan kerajaan dan kementerian yang berkenaan,” ujarnya.
Sebuah portal internet semalam melaporkan bahawa tiga daripada empat pelajar di universiti awam mengaku berada dalam situasi tidak mampu untuk membeli makanan, menurut kajian yang dijalankan sebuah NGO Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM).
Kaji selidik terhadap 25,632 mahasiswa daripada enam buah universiti itu mendapati 57 peratus daripada mereka hanya memperuntukkan RM5 sehari untuk makanan, 44 peratus makan mee segera manakala 41 peratus hanya makan nasi dengan telur goreng dan sos.
Kajian ini juga mendapati 96 peratus daripada mereka berada di bawah tekanan ekonomi, manakala 97 peratus berkata mereka mahu menggunakan bantuan kewangan daripada MVM.
Kajian itu dijalankan ke atas mahasiswa Universiti Tekonologi Mara, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia,Universiti Utara Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.