Mahasiswa perlu daftar undi ‘ajar’ BN

Oleh BORHAN AHMAD

Pemuda Amanah Nasional menyeru golongan mahasiswa mendaftar sebagai pemilih bagi mengundi pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti ekoran kegagalan kerajaan Umno-BN memelihara kebajikan dan memastikan kualiti hidup rakyat yang sejahtera.

Pengarah Hal Ehwal Mahasiswanya, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah tersebut perlu memandangkan kenaikan kos sara hidup yang mendadak sejak beberapa tahun lalu turut menghimpit penuntut universiti terutama dari keluarga miskin.

Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda“Silalah pergi mendaftar undi. Kita pakat-pakat ubah ‘mereka’ itu nanti dengan kuasa undi kita. Itu usaha paling minimum kita setakat ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut bekas Presiden Persatuan Pelajar Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, mahasiswa pada masa sama perlu melibatkan diri dalam persatuan bagi tujuan membantu rakan sepengajian selain mengambil bahagian dalam siri demonstrasi yang memperjuangan keadilan buat rakyat.

“Sementara tunggu pilihanraya, apa perlu mahasiswa lakukan? Sertai program membantu pelajar yang memerlukan dan berilah idea sebanyak-banyaknya kepada pelbagai persatuan pelajar serta jika berani, sertailah demonstrasi ‘menasihati’ kerajaan seperti demo hapuskan GST, turun harga tol, turun tambang pengangkutan awam dan pelbagai gerakan rakyat lagi di luar sana,” katanya.

Mahasiswa pengsan berlapar

Mengulas pendedahan muka depan akhbar Harian Metro semalam tentang adanya pelajar miskin di UIAM pengsan di dalam kampus akibat berlapar, beliau berkata, kerajaan patut dipertanggungjawabkan ekoran salah tadbir urus dan penarikan subsidi bagi banyak barangan makanan selain meluluskan kenaikan kos pengangkutan.

“Siapa yang laksanakan GST? Siapa yang naikkan harga tol? Siapa yang naikkan harga tambang? Siapa yang hilangkan RM2.6 billion duit negara? Siapa yang mudah-mudah cadangkan #2Kerja tapi nafikan pendidikan percuma?

“Siapa yang menarik segala subsidi termasuklah subsidi minyak, beras dan terkini tarif elektrik dari rakyat yang akhirnya beri kesan pada keluarga pendapatan rendah dan miskin? Sudah tahu siapa? Mereka inilah yang kita patut dipertanggungjawabkan!,” tegasnya lagi.

Fadhli Umar berkata, realiti yang tidak harus dinafikan ialah bukan sedikit mahasiswa di UIAM terhimpit dengan cabaran ekonomi semasa walaupun pihak majlis perwakilan pelajar dan pentadbiran universiti melakukan pelbagai inisiatif seperti bantuan makanan secara terus melalui projek ‘Suspended Meal’.

Bahkan, ujarnya, kaji selidik NGO Muslim Volunteer Malaysia (MVM) berhubung mahasiswa dan cabaran ekonomi mendedahkan selain UIAM, lima universiti lain yang menyaksikan respon tertinggi pelajar adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti
Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

Menurut analisis MVM, sebanyak 96 peratus daripada 25,632 mahasiswa yang menyertai soal selidik itu mengakui terbeban dengan keadaan ekonomi semasa manakala 74 peratus penuntut pernah berada dalam situasi tidak berduit untuk makan.

Sementara itu, 57 peratus responden mahasiswa menyatakan hanya memperuntukkan RM5 setiap hari untuk belanja makan bahkan 11,120 mahasiswa atau 44 peratus daripada keseluruhan mahasiswa yang disoal selidik memberitahu hanya makan ‘nasi bujang’.

Mengulas penemuan mengejutkan oleh MVM itu, Fadhli Umar berkata, kedaifan keluarga di kampung menghimpit mahasiswa yang sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup tinggi di bandar sehingga memaksa mereka menghantar wang pinjaman atau biasiswa diperoleh kepada keluarga.

“Usah kita bercakap soal pembaziran wang dan tidak mahir dalam mengurus kewangan walaupun ada segelintirnya begitu tetapi sedarkah kita realitinya memang ada mahasiswa yang sememangnya dari keluarga yang miskin dan daif?” tambahnya lagi.