Mahathir akui silap, tidak sepatutnya MP pembangkang berhimpun semalam

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar bagi semua rakyat Malaysia termasuk dirinya untuk mematuhi penjaran fizikal 1 meter seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau juga mengakui silapnya yang tidak sepatutnya beliau hadir dalam himpunan pembangkang seperti yang berlaku semalam.

“Soal SOP saya dapati cukup susah (nak patuh). Saya mengaku saya sendiri buat salah. Semalam saya hadir dalam perjumpaan wakil rakyat.

“Saya fikir nak duduk dalam kereta tak payah keluar. Saya nak tunjuk saya sokong. Tapi bila sampai situ, orang ramai berkumpul, ada yang bagi syarahan.

“Saya pun pergi sama dan duduk dekat dengan orang. Mujurlah saya uji sekali lagi saya negatif. Tapi itu sepatutnya saya tak lakukan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Reset Malaysia, membincangkan tentang solusi menyelamatkan Malaysia.

Pada masa sama Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, selepas ini jika wakil-wakil rakyat mahu mengadakan perjumpaan atau tunjuk perasaan, mereka perlu adakannya secara atas talian atau melalui zoom meet.

Pada semalam, kesemua 107 Ahli-ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan terhadap penutupan Parlimen yang sepatutnya bersidang pada semalam.

Kesemua ketua-ketua parti memberi ucapan dan menaikkan kain rentang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya meletakkan jawatan.

Mereka juga melakukan perarakan bergerak ke Parlimen bagi menyatakan bantahan mereka.