
Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bergabung tenaga semula selama dua tahun sebelum perubahan dalam kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dilaksanakan.
Rais mengetengahkan cadangan supaya Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri manakala Anwar pula mengambil tempat Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
“Cuba dua tahun. Kalau serasi, habiskan sepenggal,” katanya di laman Twitter hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, selepas dua tahun, Anwar boleh mengetuai kerajaan baharu.
Katanya, cadangan tersebut mungkin tidak dipersetujui oleh rakan-rakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ia adalah yang terbaik untuk menyatukan semua pihak.
“Lepas tu DSAI nakhodai kapal baru. Sambung ramuan 1997. Rakan-rakan PKR mungkin tak setuju.Tapi ini terbaik untuk serai serumpun sirih setepak (bermaksud suka atau duka ditanggung bersama),” ujarnya.