Saya tak fikir kerajaan PN setuju Mageran, kata Mahathir

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agong agar Mageran atau Majlis Gerakan Negara ditubuhkan untuk mentadbir negara sekarang setelah kerajaan yang ada gagal.

Namun Mahathir tidak yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada akan bersetuju dengan cadangan ini kerana semalam pegawai Perdana Menteri telah menolaknya.

“Saya cadangkan Mageran. Tuanku tanya, biasanya kerajaan yang ada kena buat cadangan. Jadi saya tak fikir kerajaan yang ada akan mencadangkannya,” kata Mahathir dalam sidang medianya selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong hari ini.

Mahathir sedar semalam Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat kenyataan menolak Mageran ini.

“Jadi saya tak fikir kerajaan yang ada akan membuat cadangan untuk membuat Mageran ini,” kata beliau.

Bagi Mahathir, selain Mageran, tidak ada jalan lain yang lebih baik untuk menyelesaikan isu Covid-19 kerana kerajaan yang ada sudah gagal untuk menyelesaikannya.

“Kami, parti Pejuang, ada idea untuk menyelesaikan masalah ini kalau diberikan peluang melalui Mageran,” kata Mahathir.

BERCAKAP DENGAN ANWAR

Dalam sidang media yang sama Mahathir mengaku bercakap dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui telefon baru-baru ini.

“Yang kami ada bercakap. Saya ingat, saya ada cadangkan kepada Anwar agar menulis kepada Yang Dipertuan Agong. Saya sendiri telah menulis dan telah dijawab oleh baginda. Baginda sangat nak jumpa dengan saya,” kata Mahathir.