Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini “gembira” apabila bekas seterunya Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali di Parlimen.
Menang majoriti besar 23,560 undi dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada Sabtu, Anwar mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat pagi ini, lapor Malaysiakini.
“Tentulah saya gembira. Beliau dari (gabungan) parti yang sama,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di lobi Parlimen pagi ini.
“Kami sudah menjangka dia akan kembali kerana apabila tujuh orang bertanding, (undi) pembangkang akan berpecah kepada enam dan yang ketujuh akan menang.
“Dan dia menang dengan sangat besar.” Anwar, 71, mendapat 31,016 undi, menewaskan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon Bebas.
Mereka adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Lau Seck Yan (214), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).