Mahfuz anggap idea wujudkan dua pakatan pembangkang pelik

Oleh BORHAN AHMAD

Ahli Parlimen Pokok Sena Dato’ Mahfuz Omar berkata tidak mungkin boleh wujud dua pakatan pembangkang iaitu PKR, Amanah dan DAP atas nama Pakatan Harapan dan satu lagi PKR dan Pas atas nama Pakatan Rakyat dan ini suatu yang sangat mustahil dan pelik.

“Ada yang berkata ini pernah berlaku pada 1990 dulu, harus diingat pada waktu itu Pas tidak pernah ada kerjasama dengan DAP secara rasmi.
“Tetapi jika mahu dibuat sekarang dengan mengambil contoh yang lalu, ia bertembung dengan keadaan semasa di mana Pas dan DAP sebelum ini boleh dan telah pun bekerjasama dalam satu tempoh 1999-2003 dan 2008 -2013 dan ini akan menjadi persoalan pada rakyat kenapa harus ada dua front yang berasingan,” kata beliau dalam satu kenyataan berhubung pelawaan presiden Umno untuk bekerjasama dengan Pas baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

1. Hasrat dan harapan PM Najib untuk menjalinkan Silaturrahim bersama Pas adalah sesuatu yang baik dalam ajaran Islam dan juga dalam dunia politik demokrasi. Sepatutnya, Silaturrahim bukan sahaja dengan Pas tetapi dengan semua masyarakat tanpa mengira latar belakang politik. Tidak ada sesiapa yang menolak hasrat mewujudkan Politik Murni dalam kerangka ukhuwah Silaturrahim sesama Islam dan perasaan muhibbah dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.

2. Apa yang dilihat di sebalik kalimah Silaturrahim tersebut tersembunyi motif sebenar untuk menjalinkan Kerjasama Politik dengan Pas. Ini yang mahu dilontarkan kepada perhatian umum khususnya Pas. Kerjasama Politik inilah yang “MENDESAK” bagi Najib dan Umno berbanding jalinan Silaturrahim.

3. Hasrat ini menunjukkan betapa “TERDESAKNYA” Najib dan Umno dalam berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat pada beliau dan umno. Najib mengharapkan jika dia berjaya mendapat kerjasama politik yang rasmi dengan Pas akan reda lah pergolakan dalaman Umno yang menuntut beliau melepaskan jawatan. Ini akan mengunci mulut Tun Mahathir dan kumpulan Muhyidin kerana seluruh pimpinan dan ahli Umno akan melihat ini kejayaan kedua selepas kejayaan Allahyarham Tun Razak.

4. Najib sudah dapat membaca Umno/Bn tidak mampu mendapat lebih 20% undi bukan melayu pada PRU14. Baginya, perlu ada strategi baru menggembeling majoriti sokongan undi melayu untuk melangsungkan kuasa politik beliau. Daripada tindak tanduk umno mereka sudah tidak lagi berfikir untuk dapat undi bukan melayu. Umno sudah GIVE UP dengan undi bukan melayu.

5. Persoalannya, percaturan politik yang ada akan mengakibatkan undi melayu berpecah kepada tiga iaitu Umno/Bn, Pakatan Harapan dan Pas yang mungkin akan bersendirian pada PRU14. Walaupun saya masih mengharap Pas akan sertai PH tetapi MUSTAHIL ia boleh berlaku kerana ketegangan politik Pas dengan Dap dan Amanah sukar untuk diredakan walaupun Pkr berusaha memujuk Pas.

6. Tidak mungkin boleh wujud 2 pakatan pembangkang iaitu Pkr, Amanah dan Dap atas nama Pakatan Harapan dan satu lagi Pkr dan Pas atas nama Pakatan Rakyat. Ini suatu yang sangat mustahil dan pelik. Ada yang berkata ini pernah berlaku pada 1990 dulu. Pada waktu itu Pas tidak pernah ada kerjasama rasmi dengan Dap secara rasmi. Tetapi jika mahu dibuat sekarang dengan mengambil contoh yang lalu, ia bertembung dengan keadaan semasa di mana Pas dan Dap sebelum ini boleh dan telah pun bekerjasama dalam satu tempoh 1999-2003 dan 2008 -2013. Ini akan menjadi persoalan pada rakyat kenapa harus ada dua front yang berasingan.

7. Adakah Parti pembangkang sekarang mahu menjadi PELAWAK untuk ditertawakan rakyat dengan aksi lawak mereka? Atas perkiraan ini, Pkr tidak akan sanggup meninggalkan PH yang diusahakannya. Inilah yang dijangka berlaku di mana Pas akan bersendirian dan pimpinan Parti Saya yakni Pas sudah berkali-kali menyatakan bersedia untuk bersendirian. Inilah yang akan menyebabkan undi Melayu berpecah tiga. Jika undi melayu berpecah tiga, ini memberi peluang pada PH untuk menang kerana PH mendapat kelebihan besar sokongan undi bukan melayu Islam.

8. Sebab itu, Najib sudah dapat membaca dan berusaha untuk menjadikan perpecahan undi melayu hanya tinggal pada dua kelompok sahaja iaitu PH dan BN. Inilah lontaran hasrat kerjasama dengan Pas di sebalik kalimah Silaturrahim. Najib juga mengharapkan jika kerjasama ini menjadi kenyataan, umno akan mendapat limpahan sokongan undi melayu daripada Pas dan Pas juga akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada Umno. Saya percaya Najib bersedia mempertaruhkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dengan menambah bilangan kawasan pilihan raya Dun dan Parlimen khususnya di Kelantan dan di Terengganu untuk memastikan kerjasama umno-Pas menjadi kenyataan dan akan mengagendakan kebencian Melayu terhadap kaum Cina dengan menjadikan Dap sebagai “punching bag”.

9. Pimpinan Pas sudah pun menyatakan pedirian awal jika ianya selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk Pas bersedia berlapang dada untuk perpaduan ummah dan akan berbincang di peringkat tertinggi. Apakah Pas bersedia memujuk Pkr untuk sertai pakatan politik baru dengan Umno? Dan apakah Najib dan Umno akan terselamat daripada jerebu politik selama ini dengan mendapat nafas dan suntikan darah baru. Politik Malaysia sedang bergerak dengan cukup dinamis. Tunggu dan lihat siapa pula yang akan kena!

SELAMATKAN POLITK MALAYSIA DAN RAKYAT BUKAN POLITIK PARTI.

DATO’ HAJI MAHFUZ B. HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
10 Dis 2015/28 Safar 1437H