Mahiaddin gagal dapat pasport secara kekal, ada 3 lagi tuduhan ubah wang haram

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin gagal mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal untuk bercuti ke London, United Kingdom.

Hal ini kerana, bekas perdana menteri itu masih berdepan dengan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa berjumlah RM200 juta.

Oleh yang demikian, Hakim Azura Alwi memutuskan untuk menolak permohonan Mahiaddin bagi mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport secara kekal.

Difahamkan, permohonan dilakukan Mahiaddin untuk mengikuti percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini, lapor Kosmo.

“Selepas meneliti dan menimbang segala hujahan yang dikemukakan semua pihak, mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pemohon (Mahiaddin) untuk mengubah jaminan bon dan melepaskan pasport antarabangsa pemohon tanpa syarat seperti dalam notis permohonan adalah ditolak.

“Mahkamah mendapati pemohon masih lagi mempunyai pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu difailkan akan didengar oleh mahkamah ini. Sehubungan itu, adalah suatu pramatang dan tiada keperluan pada tahap ini untuk mahkamah mengubah syarat jaminan bon,” kata Azura.

Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan Mahiaddin untuk mendapatkan pasport sementara bagi ke luar negara iaitu di London United Kingdom (UK) dan Dubai.

Pasport tersebut bakal diserahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk sementara waktu bermula 15 Disember ini hingga 11 Januari 2024.

“Pemohon perlu mengembalikan pasportnya sebelum atau pada 15 Januari 2024.” Jelas Azura dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pagoh itu membuat permohonan pada 16 Oktober lalu bagi mendapatkan pasport miliknya kerana telah membuat perancangan untuk bercuti ke London.

Pada masa yang sama, Mahiaddin dalam permohonan tersebut turut menyatakan hasratnya untuk berkunjung ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tegasnya, dirinya tiada risiko untuk melarikan diri atas beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

Baca juga: “Budak bawah umur tapi bawa watak dewasa” – Netizen menyampah dengan drama Melayu