Mahiaddin kena ambil tanggungjawab, letak jawatan bersama semua menteri kabinet

Oleh BORHAN AHMAD

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tidak boleh berlepas tangan dan meletakkan kesilapan ke atas Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan sahaja berikutan apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat.

Oleh itu, bekas perdana menteri paling lama itu berpendapat, Mahiaddin perlu meletakkan jawatan bersama dengan semua barisan kabinetnya.

“Walaupun Mahiaddin tidak mengumumkan penarikan perintaH darurat pada 26 Julai lalu, dan ia dibuat oleh de fakto Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan, Mahiaddin tidak boleh mengelak dari bertanggungjawab.

“Dia tidak berusaha untuk memperbetulkan apa yang diumumkan oleh Takiyuddin, dan tidak juga menghalang Takiyuddin walaupun dia duduk di depan Takiyuddin. Mahiaddin juga tidak membuat penjelasan pada hari berikutnya.

“Tan Sri Mahiaddin oleh itu bertanggungjawab dengan tindakan yang memalukan ini, begitu juga seluruh barisan kabinet.

“Oleh itu, beliau bertanggungjawab untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan ahli Kabinetnya perlu juga berbuat demikian,” kata Mahathir.