Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman Najib

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib adalah betul dan tidak terkhilaf.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Kesemua hakim sebulat suara mendapati tiga pertuduhan pecah amanah Najib melampaui keraguan munasabah.

Panel hakim Mahkamah Rayuan juga memutuskan bekas Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan peribadi meluluskan RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib yang juga wakil rakyat BN Parlimen Pekan itu dalam pembelaannya berkata, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

Walau bagaimanapun, Abdul Karim menyifatkan tindakan perayu sebagai memalukan Malaysia.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (national embarrassment),” tegasnya.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

Terdahulu, Najib, 68, dan pasukan pembelaannya dalam prosiding secara hibrid itu muncul menerusi aplikasi Zoom pukul 9.15 pagi.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu menyertai prosiding keputusan itu dari pangsapuri mewah, Pavilion Residences di Bukit Bintang yang pernah menyaksikan ribuan barang kemas dirampas polis pada 2018.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atasnya, bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.