Mahkamah Tinggi tolak permohonan Pas batal saman Mujahid, perintah bayar kos RM3,000

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada semalam telah menolak notis permohonan yang difailkan Pas bagi membatalkan saman fitnah difailkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, selanjutnya memerintahkan Pas membayar kos kepada Mujahid RM3,000.

Peguam Mujahid, Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan berkata kes tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan penuh pada 2025.

Mujahid pada 15 Disember tahun lalu telah memfailkan saman fitnah terhadap Pas rentetan artikel yang diterbitkan di Facebook Pas Pusat bertajuk “Mantan Menteri Agama PH sokong Eljibiti?”.

Hantaran itu dimuat naik pada 16 Oktober 2022.

Mujahid di dalam penyataan tuntutannya mendakwa artikel tersebut adalah bersifat fitnah dan mengaibkan beliau.

Mujahid turut mendakwa Pas dengan melampau menggunakan dan mengaitkan isu LGBT ini dengan beliau, termasuk terhadap Pakatan Harapan di dalam kempen-kempen pilihan raya mereka sama ada di bawah nama Pas ataupun gabungan politik pas iaitu Perikatan Nasional.

Malah melalui Pilihan Raya Umum ke-15, pemimpin-pemimpin defendan atau Pas turut menyebarkan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut.

Baca juga: Pas bayar lebih RM2 juta sejak 2016 akibat kalah saman fitnah, ini senarai 16 fitnah yang dikeluarkan Pas