Bukan senang nak ambil tawaran berlakon apabila usia sudah melebihi 70 tahun, kebanyakan pelakon akan memilih untuk berehat daripada dunia hiburan.
Buat pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan adalah antara anak seni yang berhasrat untuk rehat seketika daripada mengambil tawaran bekerja.
Jelas pelakon berusia 71 tahun itu, tahun ini beliau sebolehnya mahu menumpukan pada ibadah.
Malah dia juga menunaikan umrah pada bulan ini sebelum kembali Tanah Suci bagi ibadah haji pada musim ini.
Menurut Kosmo! Online Jalaluddin berkongsi bahawa keputusan itu dibuat setelah memohon petunjuk melalui solat istikharah yang dilakukan sebelum ini.
“Saya ingat nak berehat sekejap daripada dunia hiburan kerana bulan ini saya akan buat umrah dan saya juga terfikir untuk tunaikan haji tahun ini juga. Semua dalam perancangan.
“Saya terfikir kalau saya tidak buat sekarang, bila lagi? Sampai bila nak bagi alasan macam-macam. Bila saya duduk dan bertahajud serta istikharah minta petunjuk.
“Saya dapat seru kalau tak buat sekarang tak tahu bila lagi,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama Jalaluddin akan menunaikan umrah dan haji itu bersama isterinya, Datin Rapidah Abd. Ghani.
“Saya tidak dapat panggilan haji tetapi berhasrat untuk pergi melalui syarikat swasta memang mahal sikit tetapi tidak apalah.
“Saya fikir tentang keindahan beramal ibadah di sana nanti selepas umrah kemudian naik haji pula,” katanya.
Baca juga: “Dekta nak buat orang suka Daddy balik” – Thalita dedah punca mahu jadi penyanyi