Mainpp, Maik ‘main-main’ urus tanah wakaf, kata laporan audit

Oleh BORHAN AHMAD

Kurang memuaskan. Itu rumusan Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri 3 terhadap tahap pengurusan hartanah wakaf oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik).

Pengauditan mendapati Mainpp belum melakukan pembelian baharu bagi menggantikan tanah yang diambil ekoran nilai pampasan diperoleh tidak mampu untuk menampung nilai tanah yang melambung tinggi.

Laporan itu mendedahkan Mainpp menerima pampasan pengambilan tanah daripada kerajaan negeri berjumlah RM9.01juta membabitkan 14 hartanah wakaf sehingga tahun 2014.

Hal yang sama berlaku di Kedah apabila siasatan audit menunjukan Maik tidak segera menggantikan tanah istibdal iaitu harta wakaf yang ditukar atau diganti dengan harta yang lain bagi tujuan kemaslahatan awam melalui jualan atau pembelian atau sebagainya bagi tujuan mengekalkan tanah wakaf.

Beberapa kelemahan lain dalam pengurusan wakaf oleh Maik turut disenaraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam (23 November) termasuk tiadanya pemantauan ke atas hartanah wakaf sehingga mengakibatkan pencerobohan.

Siasatan audit mendapati sebuah bengkel membaiki kereta dan rumah setinggan telah didirikan di tanah wakaf di Jalan Limbong Kapal, Mukim Kota Setar tanpa dikenakan tindakan ke atas penceroboh.

Selain itu, Maik juga dilihat lemah dalam mewartakan dan mengemaskini maklumat berkaitan hartanah wakaf serta tidak membangunkan tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan.

Menurut laporan audit lagi, harta wakaf Maik tidak disiarkan dalam Warta sebaliknya dinyatakan sebagai aset dalam Penyata Kewangan Maik walhal mengikut Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008, pihak Maik perlu menyiarkan hartanah wakaf dalam Warta berkenaan.

Pengauditan ke atas Mainpp pula mendapati wujudnya kelemahan dari segi mengemaskini maklumat hartanah apabila tidak memasukkan maklumat bagi 115 lot daripada 1,210 lot di semua daerah sehingga tahun 2011.

Maklumat berkaitan seperti nama pewakaf, hak milik, tujuan serahan serta pembangunan sedia ada di atas tanah wakaf gagal untuk dikemaskini.

Jutaan sewa tertunggak, Majlis Agama Islam tak buat kerja?

Kelemahan Majlis Agama Islam kedua-dua negeri di utara tanah air itu juga dikenalpasti dalam pengurusan sewaan hartanah wakaf termasuk bangunan walaupun hasil sewaan merupakan salah satu punca pendapatan.

Berdasarkan rekod Maik sehingga 31 Disember 2014, sebanyak 79 peratus iaitu 160 daripada 203 penyewa mempunyai bayaran sewa tertunggak berjumlah RM1.05 juta.

Sementara itu di Pulau Pinang, audit berpendapat Mainpp tidak mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan selain kegagalan Mainpp menyediakan perjanjian sewa.

Semakan audit terhadap Laporan Sewaan Yang Tertunggak mendapati 38 peratus iaitu 268 daripada 702 penyewa berhenti untuk menyewa tetapi gagal melangsaikan tunggakan sewa sehingga mencecah RM2.2 juta.

Menurut laporan audit juga, trend jumlah tunggakan sewa meningkat dari tahun 2012 hingga 2014 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.56 juta membabitkan 702 penyewa.

Dalam hal berkaitan, Mainpp dalam maklum balasnya berkata, sejumlah RM523,420 daripada tunggakan sewa sebanyak RM4.56 juta itu melibatkan bekas penyewa yang bukan beragama Islam sejak tahun 2000.

Audit mendapati tunggakan yang melebihi 24 bulan mencatatkan rekod tunggakan tertinggi iaitu berjumlah RM2.56 juta dengan seramai 235 penyewa manakala tunggakan bagi tempoh kurang daripada tiga bulan mencatatkan paras paling rendah iaitu RM140,000 membabitkan 115 penyewa.