Majikan ini ‘swipe’ kad cecah RM150,000, belikan kereta baharu buat pembantu peribadi

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang ahli perniagaan membelanjakan wang berjumlah ratusan ribu ringgit untuk membelikan kereta baharu buat pembantu peribadinya telah mengundang kata-kata pujian daripada orang ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, sikap usahawan terbabit dikatakan sangat pemurah ekoran rela mengeluarkan belanja yang begitu besar hanya untuk menjaga kebajikan pekerjanya selain jarang dilakukan oleh majikan lain.

Berdasarkan satu hantaran video dimuat naik di platform TikTok, usahawan yang dikenali sebagai Wanie Elena itu berkongsikan detik sewaktu mengunjungi sebuah premis dipercayai pusat pameran kereta bersama suaminya.

Kemudian pemilik nama sebenar Nur Alwani Norazman itu dilihat menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berjenama Jaecoo di dalam premis berkenaan sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Usahawan berusia 30 tahun yang merupakan pengasas jenama pakaian tempatan iaitu Hijabistahub itu dilihat membuat bayaran sebanyak RM149,614.33 menggunakan kad bank kad bank American Express (AMEX) miliknya.

Menurut Wanie Elena, kereta segmen premium di bawah Chery daripada China itu dibelikan khusus buat kegunaan pekerjanya iaitu pembantu peribadi yang baharu sahaja dilantiknya.

@wanieelena

Car shopping day 🚗

♬ GASLIGHT – INJI

“Hari untuk membeli-belah kereta. Mari ikut saya membeli kenderaan buat pembantu peribadi baharu saya,” katanya dalam keterangan video yang kini sudah meraih lebih dari setengah juta tontonan itu.

Tinjauan juga mendapati perkongsian itu berjaya meraih sebanyak 25,800 tanda suka daripada pengguna TikTok yang rata-ratanya memuji sikap usahawan terbabit dalam berkongsi rezeki bersama pekerjanya.

Ramai juga pengguna TikTok mengakui turut terinspirasi dengan sikap Wanie dan berharap dapat menjadi majikan sepertinya manakala beberapa individu sempat berseloroh mahu menjadi pekerjanya agar meraih ganjaran sama.

Baca juga: Imegresen tunjuk data makin ramai lelaki Kelantan pilih wanita Thailand untuk dijadikan isteri