Majikan perlu rasional potong gaji peminjam PTPTN, kata Ketua Pemuda Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemuda Amanah Nasional menyeru pihak Perbadananan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertindak lebih rasional dan munasabah dalam membuat pemotongan gaji peminjamnya.

Ketuanya Sany Hamzan berkata, tindakan PTPTN mengarahkan majikan sektor awam dan swasta memotong hampir keseluruhan gaji peminjamnya amat membebankan peminjam.

“Pemuda Amanah berpandangan amaun yang dipotong itu melampau dan tidak masuk akal. Bagaimana mungkin mereka yang dipotong sebahagian besar gajinya itu boleh bertahan dengan gaji yang hanya tinggal beberapa ratus ringgit untuk tempoh sebulan ke depan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan majikan sebuah sektor awam yang memotong hampir keseluruhan gaji kakitangannya untuk bayaran PTPN sehingga mempunyai baki sifar mula tersebar di laman sosial.

Sany berkata, PTPTN seharusnya memudahkan prosedur kaedah ujrah sebanyak satu peratus yang diperkenalkan bagi mendorong peminjam melunaskan hutang tanpa membebankan mereka.

“Jika PTPTN benar-benar ikhlas mahu pinjaman dilunaskan, mengapa kaedah ujrah sebanyak 1% yang pernah diperkenalkan sebelum ini tidak dikuatkuasakan pada semua peminjam?

“Mengapa perlu disusahkan peminjam dengan segala macam prosedur yang menyusahkan semata-mata ingin peroleh ujrah 1% tersebut?” katanya lagi.

Beliau juga berkata, hal pembayaran semula pinjaman PTPTN perlu timbal balik yang adil antara kedua-dua pihak.

“Pelaksanaan secara automatik ujrah 1% dilihat tindakan terbaik yang boleh mendorong peminjam melunaskan hutang-hutang mereka. Sambil tidak menafikan, apa-apa potongan selepas daripada ini perlu melalui proses perbincangan yang kondusif antara pihak peminjam dan PTPTN,” katanya.