Majlis Bandaraya Alor Setar prihatinlah nasib peniaga yang cari sesuap nasi!

Oleh NASUHA RAHMAN

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBSA) seharusnya prihatin terhadap nasib peniaga yang mencari sesuap nasi bagi persiapan Aidilfitri untuk kembali semula berniaga di tapak Pasar Sehari Peremba, Alor Setar.

Tapak pasar terbabit yang tertera papan kenyataan dipasang MBAS menyatakan peniaga berlesen dibenarkan berniaga ditapak tersebut.

Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang turun ke lokasi tapak pasar terbabit memohon supaya Datuk Bandar MBAS membenarkan peniaga berlesen berniaga ditapak tersebut.

Beliau berkata, secara jelas tapak ini dibenarkan untuk menjalankan perniagaan oleh MBAS dan ianya telah terhenti sementara ekoran penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun yang lalu.

“Perbualan saya dengan Datuk Bandar tempohari ada menyatakan hanya peniaga lama dibenarkan berniaga pada 7 April 2022, sepucuk surat bertandatangan Datuk Bandar MBAS telah sampai ke pejabat saya, antaranya melarang terus tapak ini dari digunakan untuk berniaga.

Majlis Bandaraya Alor Setar prihatinlah nasib peniaga yang cari sesuap nasi!
Asmirul menunjukkan nombor lot di Pasar Sehari Peremba, Alor Setar yang dilarang berniaga

“Kemungkinan Datuk Bandar tidak menyedari selama dua tahun peniaga-peniaga terlibat hanya umpama kais pagi makan pagi, kedai pula ditutup dan terpaksa berhempas pulas mencari rezeki selama dua tahun,” ujar beliau.

Tambah Asmirul lagi, seharusnya Datuk Bandar prihatin terhadap peniaga, apalagi mereka sedang bergelut mencari nafkah Ramadan yang singkat ini sebagai penyediaan pakaian dan keperluan anak-anak menjelang Hari Raya yang akan datang.

Kata beliau lagi, sepatutnya harus ada rasa belas kasihan terhadap golongan marhaen di bawah dan bukannya menolak mereka mentah-mentah begitu tanpa diberi pembelaan.

Tegas Asmirul, sebagai Adun AMANAH yang peduli rakyat, beliau akan terus melangkah membela nasib peniaga meskipun terpaksa mengetuk pintu Menteri Besar Kedah mahu pun terpaksa menghadap ke Istana Anak Bukit.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/kenapa-malaysia-tersenarai-negara-paling-stress-untuk-memandu-ini-puncanya/