Majlis Fatwa Kebangsaan perlu lebih berani dan tegas

Oleh MALAYSIADATELINE

Hari ini hampir semua mufti negeri masing- masing menyambut fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Ada yang mendakwa fatwa negeri mereka lebih awal mengharamkan vape. Ada yang sekadar menyambut dan mengikut. Ada pula yang diam dan untuk tidak bersikap prejudis, kita perlu tabayyun, mungkin mereka masih mengkaji isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara seperti rasuah dan ketirisan.

Mengikut rekod dalam isu rokok, masih ada majlis fatwa negeri yang belum mewartakan ianya sebagai haram. Umum boleh membaca fatwa mengenai “Merokok Dari Pandangan Islam”, Muzakarah Kali Ke-37 juga dikategorikan dibawah perkara sosial dan syariah yang bertarikh 23 Mac 1995. Fatwanya lebih kurang sama dengan fatwa yang dibincangkan mengenai vape dan shisha. Antara yang dipertimbangkan dalam fatwa haram penggunaan vape adalah berkaitan dengan kesihatan dan pembaziran.

Namun yang menjadi persoalannya adakah layanan yang sama akan diberikan kepada yang terlibat dalam industri rokok seperti mana rampasan yang dibuat kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan vape?

Inilah sikap institusi agama dan kerajaan yang ada di negara kita. Tidak menerangkan apa kesan dan dari mana sumber rujukan bagi mengharamkan penggunaan vape ini. Rakyat seakan mula keliru dengan tindakan ini. Bukan untuk memenangkan atau menyebelahi pengguna vape, tapi biarlah adil dalam setiap alasan dan tindakan yang diambil.

Jika kita lihat rokok itu lebih bahaya kepada penghisap dan orang awam. Namun tidak pula diperjuangkan sepenuhnya. Lebih memilukan ada pihak memberikan alasan sebab mengapa harga rokok dinaikkan adalah untuk mengurangkan kadar mereka yang merokok. Tidakkah ianya kedengaran sangat dangkal?

Jangan pelik jika satu masa dan ketika , vape atau shisha akan jadi sama seperti rokok. Cuma yang bezanya nanti, perisanya akan dikenakan cukai sepertimana rokok. Semoga ketika itu agensi kerajaan yang berkaitan dan institusi agama tidak membisu apabila diluluskan oleh kerajaan.

Kesimpulannya apakah peranan yang lebih besar mampu dimainkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Mufti Negeri masing-masing? Adakah sekadar menasihati dan membuat teguran atas maslahat yang bakal memudaratkan umat Islam dinegara ini tidak kira ianya berkaitan dengan isu akidah atau syariah? Ataupun perlu menasihati kerajaan dan institusi dibawahnya yang lebih-lebih lagi diketuai oleh muslim agar menguruskan kepercayaan dan amanah rakyat kerana ianya lebih berisiko membawa mudarat kepada negara.