Isu peralihan kuasa Perdana Menteri menjadi perdebatan pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan kesediaan beliau melepaskan jawatannya pada bila-bila masa.
Umum juga tahu, beberapa Ahli Parlimen PKR dalam sebuah forum di Kuala Lumpur semalam juga menggesa agar peralihan kuasa dikekalkan pada Mei ini sehingga kerelaan PM melepaskan jawatannya mendapat perhatian dari pemerhati-pemerhati politik.

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar, berkata, kenyataan Dr Mahathir yang digambarkan ikhlas menerima keputusan dari mesyuarat Majlis Presiden PH itu, perlu dipandang secara serius oleh ahli majlis dengan mengambil tanggungjawab meminta Mahathir berundur secara hormat.
Namun beliau menegaskan, tidak seharusnya ada dikalangan ahli majlis memikirkan kepentingan kedudukan mereka dalam kabinet sehingga enggan membuat desakan undur terhadap Pengerusi Bersatu itu.
“Jangan ada yang mementingkan kedudukan diri dalam kabinet untuk sepakat minta Dr Mahathir berundur.
“Sekiranya enggan membuat desakan undur terhadap Mahathir kerana memikirkan kedudukan dalam kabinet akan terjejas, itu adalah satu hipokrasi besar.
“Apa yang semua pihak khasnya anggota majlis presiden kena pertimbangkan adalah kedudukan kerajaan PH yang tidak begitu sumringah (kukuh) dari sudut pandangan mata rakyat bukan mementing tembolok bodoh diri sendiri,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Dr Mahathir seharusnya berundur dengan hati yang ikhlas dan penuh kesedaran tanpa menantikan gesaan dari majlis presiden.

Sementara itu, Penulis blog, Shahbudin Husin, mengingatkan agar tarikh peralihan kuasa mesti segera dijadikan agenda perbincangan dalam mesyuarat majlis presiden akan datang.
Menurutnya, dua tahun sebagai Perdana Menteri adalah memadai bagi Mahathir kerana ini adalah kali kedua baginya mentadbir kerajaan.
“Jangan pula Majlis Presiden bersikap terlalu baik hati dan mahu memberi lebih masa lagi kepada beliau menjadi Perdana Menteri.
“Selepas ini, yang lebih penting ialah PH harus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah kerajaan yang bertunjangkan reformasi serta mampu menang lagi pada PRU15 akan datang,” ujarnya.