Majlis Syura PAS izin kerjasama dengan ‘mana-mana pihak’

Oleh BORHAN AHMAD

Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 2 Januari lalu mengizinkan kerjasama dengan ‘mana-mana pihak’ demi kepentingan Islam, bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai BN.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan portal rasmi PAS, Harakahdaily, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata, berdasarkan kepada nas-nas Al-Quran dan Hadis, Majlis Syura Ulamak PAS telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Nik Zawawi SallehMenurutnya, salah satu daripada dasar Islam yang dipegang PAS adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Beliau juga memetik hadis yang bermaksud: “Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim, Baginda menjawab , elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka. (Riwayat Imam Bukhari).

“Berdasarkan kepada nas-nas tersebut, maka Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 21 Rabiul Awwal 1437H bersamaan 2 Januari 2016M telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

“Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional,” ujarnya.