Majoriti besar pesakit yang menghadapi gejala COVID-19 panjang atau ‘long Covid’ akan mengalami kerosakan saraf yang mungkin disebabkan tindak balas imun yang rosak.
Dalam satu kajian skala kecil terhadap pesakit yang menghidap gejala berterusan akibat dijangkiti COVID-19 mendapati, hampir 60 peratus mengalami kerosakan saraf.
Menurut penyelidik Amerika Syarikat (AS) semalam, penemuan itu boleh membawa kepada rawatan baharu.
Kajian itu membabitkan pemeriksaan mendalam terhadap 17 orang yang menghadapi gejala COVID-19 panjang, keadaan selepas tiga bulan dijangkiti virus itu dan berlaku sekurang-kurangnya selama dua bulan.

“Saya berpandangan apa yang berlaku di sini adalah saraf yang mengawal perkara seperti pernafasan, salur darah dan penghadaman kita dalam beberapa kes rosak bagi penghidap jangka panjang COVID-19,” kata Dr Anne Louise Oaklander.
Beliau adalah pakar saraf di Hospital Besar Massachusetts merangkap ketua penulis penerbitan kajian bertajuk Neurologi: Neuroimmunologi & Neuroinflammation.
Sebanyak 30 peratus orang yang menghidap Covid-19 dipercayai mengalami komplikasi Covid-19 yang berpanjangan, iaitu suatu keadaan dengan simptom dari keletihan, degupan jantung cepat, sesak nafas, kesukaran kognitif, sakit kronik, keabnormalan deria dan kelemahan otot lapor Reuters.
Dr Oaklander dan rakannya menumpukan pesakit dengan simptom konsisten dengan satu jenis kerosakan saraf dikenali sebagai peripheral neuropathy.
Hanya seorang mengalami kes ringan Covid-19 dan tidak ada seorang pun yang menghidapi kerosakan saraf akibat jangkitan.
Selepas menolak penjelasan lain yang mungkin untuk aduan pesakit, penyelidik menjalankan satu siri ujian bagi mengenalpasti kaitan saraf.
“Kami melihat setiap satu objektif utama ujian diagnosis,” kata Dr Oaklander.
Majoriti besar mengalami neuropati fiber kecil iaitu kerosakan pada fiber saraf kecil yang mengesan penderiaan dan mengawal fungsi badan yang tidak disengajakan seperti sistem kardiovaskular serta pernafasan.
Dapatan itu konsisten dengan kajian pada Julai lalu yang dijalankan oleh Dr Rayaz Malik dari Pusat Perubatan Weill Cornell Qatar.
Beliau menemui kaitan antara kerosakan saraf fiber dalam kornea dan diagnosis komplikasi COVID-19 panjang.
Dalam kajian semasa, 11 daripada 17 pesakit telah dirawat sama ada dengan menggunakan steroid atau immunoglobulin intravena (IVIG), rawatan standard untuk pesakit yang mengalami kerosakan saraf fiber kecil disebabkan tindak balas imun.
Terdapat tahap kesihatan pesakit COVID-19 yang bertambah baik walaupun tiada yang sembuh sepenuhnya. –