Pendedahan seorang pempengaruh mengenai suaminya yang dikatakan berlaku curang dengan ‘bride-assistant’ atau pembantu pengantin perempuan diupah olehnya sendiri telah menggemparkan media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, pempengaruh kecantikan terbabit bukan sahaja menangkap suaminya berlaku curang selepas 29 jam mereka diijab kabul malah terkejut apabila wanita yang menjadi orang ketiga itu adalah sahabatnya sendiri.
Kejadian yang menjadi perbincangan hangat sehingga kini itu mendorong seorang mak andam atau jurusolek profesional (MUA) untuk berkongsi pengalaman peribadi pernah dilaluinya selama bekerjaya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Thread, jurusolek itu mengakui pernah beberapa kali diganggu oleh suami kepada pengantin perempuan yang telah mengupahnya untuk menghiaskan diri di hari bahagia.
“Sekarang tengah tular cerita bride-assistant goda suami orang di platform Tiktok. Jadi nak cerita kenapa saya pilih berhenti solek pengantin lelaki walaupun diri ini jurusolek. Kejadian ini berlaku beberapa kali sehingga buat saya tak selesa.
“Saya juga sudah tak pakaikan samping atau belajar lebih lanjut untuk siapkan pengantin lelaki. Rasa macam geli. Saya sudah berada dalam industri ini 10 tahun. Ketika awal bekerjaya, saya memang solekkan pengantin lelaki secara percuma.
“Sebagai hadiah sebab pengantin perempuan upah saya. Kebanyakkannya baik, Alhamdulillah. Pengantin yang baik saya selalu doakan agar bahagia sehingga ke anak cucu. Sehinggalah insiden yang tidak menyenangkan berlaku,” katanya dalam hantaran itu.
Menurutnya, beberapa pengantin lelaki akan bertindak mengikuti akaun media sosial miliknya sebelum mula menghantar pesanan-pesanan yang tidak seharusnya dilakukan sebagai suami orang.
Jurusolek itu pada mulanya akan menyekat akaun suami pelanggannya sebelum mengambil keputusan untuk berhenti menawarkan khidmat solekan buat pengantin lelaki selepas beberapa kali mengalami kejadian sama.
“Perkara ini selalunya berlaku selepas majlis perkahwinan. Tetapi bukan semua pengantin lelaki bersikap macam itu. Pengajaran kisah ini adalah kedua-dua pihak salah. Bride-assistant itu salah kerana menggoda. Suami orang itu juga salah kalau melayan.
“Berdosa ya kalau layan juga. Saya cuma mampu doakan yang terbaik untuk kebahagiaan pengantin. Biarlah Tuhan sahaja yang membalas jika mereka masih lagi tidak mahu berubah (berhenti berlaku curang).” Kongsinya.
Baca juga: Dua beradik tuai pujian sebab pakai duit raya beli cincin emas, pilih sendiri bagi ibu pakai