Baru-baru ini tular rakaman memaparkan seorang nenek dipercayai sedang membaca surah Yasin dan berzikir di sebuah bangku yang terletak di luar dewan peperiksaan di sebuah sekolah di Lenggong, Perak.
Rupa-rupanya, nenek terbabit berbuat sedemikian untuk memberikan sokongan kepada cucunya yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong itu.
Detik menyentuh hati itu sempat dirakam oleh pengguna TikTok dipercayai seorang guru sebelum berkongsi video berdurasi 26 saat berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik platform berkenaan.
“Cucu dalam dewan peperiksaan, jawab SPM. Nenek pula menunggu di luar sambil membaca surah Yasin dan juga berzikir untuk cucu,” tulis pengguna TikTok itu di ruangan kapsyen.
Hantaran tersebut tular di media sosial yang mana setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya mendapat sebanyak 780,500 tontonan dan 126,000 tanda suka dari pengguna TikTok.
Namun yang menarik perhatian ramai adalah salah satu komen ditinggalkan oleh ibu bapa kepada pelajar yang hadir ke sekolah sama dan mengenali cucu kepada nenek berkenaan.
Menurutnya, ibu kepada calon SPM terbabit sebenarnya sudah meninggal dunia pada Oktober lalu sekali gus menjadikan kehadiran neneknya lebih bermakna dan mengharukan.
“Cucunya sama ‘batch’ dengan anak saya. Maknya baru meninggal Oktober lepas,” kata pengguna terbabit dalam ruangan komen sebelum disahkan ‘betul’ oleh perakam video.
Susulan membaca komen tersebut, rata-rata pengguna TikTok mengakui tidak dapat menahan sebak dan terharu dengan kisah pelajar terbabit selain merasa kagum akan kesungguhan neneknya dalam memberi sokongan.
Ramai juga pengguna tampil mengirimkan doa kepada nenek dan cucunya agar dipermudahkan urusan dalam menjawab peperiksaan seterusnya meraih kejayaan di dunia dan akhirat.
“Allahu. Harapnya penuh semangatlah anak itu nanti nak menjawab soalan dalam peperiksaan. Ada nenek yang menggantikan tempat arwah ibunya,” kata seorang pengguna berkongsi perasaan terharu.
“Semoga nenek dilimpahi keberkatan di dalam umurnya, diberikan kesihatan yang baik dan semoga cucu menjadi insan yang berjaya di dunia serta memanfaatkan ilmu dunia untuk bekalan akhirat.” Kongsi pengguna lain.