Seorang wanita langsung tidak menyangka, ibu mentua yang dianggapnya baik rupanya sering bercakap buruk mengenai menantu di belakang pengetahuan mereka.
Lebih memburukkan keadaan, ibu mentua kepada wanita yang dikenali sebagai Syafa itu turut bersikap pilih kasih dengan memberi layanan baik kepada menantu berharta.
Terpaksa menerima hinaan kerana masih menumpang di rumah mentua, berikut adalah perkongsian Syafa yang masih berusaha untuk ikhlas menerima ketentuan Ilahi.
“Assalamualaikum. Nama aku Syafa, berusia 23 tahun. Aku sudah berkahwin selama hampir dua tahun. Selama itu jugalah aku tinggal di rumah mak mentua. Banyaklah perkara yang pahit, manis, baik dan buruk yang aku alami dalam rumah ini. Luahan ini mengenai mak mentua aku. Dia memang baik, tetapi ada masanya.
“Senang cerita lemah lembut tetapi kaki manipulasi dan suka ambil kesempatan. Aku jadi meluat tengok mak mentua. Perasaan ini muncul sejak dia mula cakap belakang mengenai aku dekat ipar. Salah satu perkara yang kantoi dia mengumpat aku adalah isu berjalan. Katanya aku asyik nak balik cepat kalau pergi mana-mana.
“Memanglah nak cepat balik, aku ini bekerja secara syif di kilang. Esoknya aku perlu bangun pukul 4 pagi untuk siap-siap pergi kerja, tahu tak? Aku terpaksa ikut berjalan sebab suami yang pujuk. Janjinya nak balik awal. Tetapi mereka kalau keluar, sampai tengah malam. Tiada maknanya nak gerak balik. Memang tiada otak.
“Tak mengapalah, aku bersabar. Diam sahaja. Satu lagi masalah mak mentua aku ini kalau orang luah masalah, tiba-tiba sahaja perkara itu jadi tentang dia pula. Padahal orang lain yang meluah. Hebohlah cerita mengenai dia dahulu begini begitu. Memang menyampah aku dengar, konon dia yang terpaling diujilah.
“Lagi-lagi kalau suami aku yang meluah. Mak mentua suka kaitkan dengan isu anak. Katanya, ‘kau belum ada anak lagi’. Berulang kali dia cakap seumpama mendoakan kami supaya tiada anak. Lagilah aku baran dengan orang tua itu. Dia juga jenis yang pilih kasih tetapi tak mengaku. Suami aku bukanlah anak kesayangan.
“Selalu sahaja ada silap suami di mata mak mentua. Aku pula menantu yang paling dia gemar suruh buat macam-macam kerjalah. Padahal anak perempuannya dengan menantu kesayangan bukan main ditatangnya. Tetapi depan-depan sahajalah baik. Belakang ada mengumpat juga mengenai menantu kesayangannya itu.
“Maklumlah, orang berduitkan. Mestilah kena jilat walaupun mulut biadap. Menantu kesayangan ini pula suka berikan pelbagai alasan kalau ada kerja dapur. Jaga anak bagai. Sejujurnya sepanjang aku mengenali dia, memang abang ipar sahajalah yang uruskan hal anak dan rumah. Abang ipar juga yang berikan anak makan.
“Kalau lapar, memang kena tunggu abang ipar aku muncul barulah budak itu dapat makan. Isterinya memang tak pernahlah sentuh dapur, hanya abang ipar aku. Itupun kurang ajar lagi dengan suami. Dia pun mengikut cakap mentua aku, ‘kamu itu belum ada anak lagi’. Pergh, sakit woo tahan diri nak makikan semua hawau itu.
“Aku terpaksa tahan sebab suami baru sahaja dapat kerja. Jadi kena duduk di rumah mentua sampai cukup duit nak pindah. Aku pula baru berhenti selepas hidap slipped disc (cakera tulang belakang teranjak). Sebelum ini, aku tanggung suami. Sebab aku faham susahnya nak dapat kerja sekarang. Aku tak kisah. Aku redha.
“Namun aku tak reda dengan layanan mentua yang talam dua muka dan pilih kasih. Pola fikir mak mentua juga utamakan duit. Katanya, ‘Kalau kau tiada duit, orang tak pandang. Kau ada duit baru orang pandang’. Itu daripada mulut dia sendiri. Di depan aku dengan suami pula itu. Bonus daripada mulut dia, ‘kau tiada anak lagi’.
“Itukah yang mak mentua cakap dia sayangkan menantu sama rata? Banyak lagilah sebenarnya nak cerita. Belum lagi cerita kena halau dengan bapak mentua. Tetapi itulah nasib menumpang rumah orang, nak melawan tak boleh. Telan sahajalah. Esok kalau aku sudah kaya, sudah tahu kepala siapa yang patut dipijak dahulu.
“Banyak hinaan dan buruk yang kami suami isteri terpaksa telan di dalam rumah ini. Sabar sahajalah. Kalau orang anggap mental aku tak kuat, terpulang. Siapa pernah rasa sahaja yang faham perit dia. Hari-hari paksa ikhlaskan hati.” Kongsi Syafa (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.