“Mak tergamak tuduh kakak goda ayah, halau keluar rumah tanpa tahu hal sebenar”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka bahawa ayah yang dihormatinya selama ini rupanya menyembunyikan sisi gelapnya daripada pandangan orang lain.

Malah lelaki berusia berkenaan telah menyebabkan kakak kepada wanita dikenali sebagai Nona itu dihalau keluar daripada rumah oleh ibunya pada usia yang masih muda.

Hanya mengetahui perkara sebenar selepas hampir dua dekad kejadian berlaku, berikut perkongsian mengenai penderitaan kakak Nona akibat dari perbuatan ayahnya.

“Nama aku Nona, berumur 20-an. Aku ada tiga orang adik-beradik dan kami bertiga adalah anak angkat (tidak disusukan). Aku bongsu. Kakak yang sulung perempuan, anak yang kedua pula lelaki. Niat aku hanya mahu meluahkan sebuah tragedi hitam yang berlaku ke atas kakak sulung, tetapi kesannya sangat mendalam bagiku.

“Sepanjang hidup, inilah kali pertama kakak beritahu aku tragedi hitam dalam hidup dia. Mungkin sebab jarak umur kami agak jauh membuatkan dia tak yakin nak cerita dekat aku. Umur kakak sekitar 40-an. Semua kisah ini hanya terbongkar gara-gara aku dengan kakak ada perselisihan faham dengan mak kami.

“Mulanya, kakak hanya meluahkan isi hati dia. Aku juga berkongsilah luahan isi hati kepadanya. Semakin lama, ceritanya semakin mendalam. Kakak mulalah mengimbas kembali kisah yang menjadi punca dia keluar daripada tempat tinggal kami. Rupanya kakak telah dituduh ada hubungan dengan ayah kami sendiri.

“Apa yang mengejutkan, mak kami sendiri menuduh kakak jalinkan hubungan dengan suaminya. Aku ingatkan lagi sekali, mereka adalah ibu bapa angkat dan kami dijaga dari bayi lagi. Kalau ikut akal yang waras, logik ke pertuduhan seperti itu? Kakak aku kena halau dengan mak ketika umur dia awal 20-an, tak pasti umur berapa.

“Aku waktu itu terlalu kecil untuk memahami apa yang telah berlaku. Aku tergamam. Bertalu-talu soalan aku tujukan kepada kakak. Bagaimana? Kenapakah pertuduhan seperti ini boleh berlaku? Akhirnya kakak aku cerita tragedi hitam yang dia pendam selama ini. Rupanya ayah sudah memperkosa kakak sejak kecil.

“Sejak kakak sekolah rendah sehingga umurnya 16 tahun. Itu pun ayah berhenti buat perkara terkutuk itu sebab wujudnya aku. Mak juga sudah berhenti kerja masa itu. Hancur hati aku. Aku menangis mengenangkan nasib kakak dengan usia sekecil itu sehingga dia masuk alam remaja. Patutlah kakak berubah jadi ‘tomboy’.

“Rupanya ada kisah hitam di sebalik perubahan perwatakan kakak yang menyerupai lelaki. Tetapi kakak aku baik sangat. Dia sembunyikan perasaan dan layan mak ayah kami sehabis baik. Mak aku pula mudah sahaja jatuh sayang kalau kita taburkan duit dekat dia. Semestinya akan menyanjung kau melangit tingginya.

“Tahu tak, mak ayah aku tak pernah sekalipun meminta maaf dekat kakak. Ayah pula tak pernah berubah walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun. Masih gian lagilah bermain nombor ekor. Aktif dengan aktiviti sabung ayam. Aku tahu dia memang suka main perempuan. Sudah banyak kali kantoi dengan aku.

“Video tak senonoh dalam telefon berlambak. Aku tanpa segan silu memang beritahu mak. Kemudian mereka bergaduh seperti tiada hari esok. Akhirnya, aku jugalah yang selalu kena marah dengan ayah dan digelar peruntuh rumah tangga dia. Ketika usia ayah 60 tahun, dia ‘kacau’ pula seorang budak yang tumpang tinggal rumah kami.

“Ayah sanggup nak bayar budak itu kalau dia benarkan sentuh badan. Tindakan mak pula, dia tuduh budak perempuan itu menggatal dengan ayah. Malunya aku dengan tindakan ayah. Baru-baru ini, kantoi ayah rapat dengan janda kepada arwah abang dia sendiri. Semua perkara ini berlaku dalam pengetahuan mak aku.

“Tetapi mak tetap menangkan ayah. Kalau pembaca sangka mak takut ditinggalkan ayah sebab tak nak hilang tempat bergantung, kamu semua silap. Sebab, sejak aku sekolah pun ayah sudah tak mampu berikan nafkah kepada mak. Apatah lagi belanja barang dapur atau makan pakai. Semuanya kakak aku yang tolong.

“Sekarang mak aku ambil upah mengasuh budak. Aku tak tahulah macam mana nak menghadap mak dan ayah selepas tahu perkara ini. Raya Aidilfitri aku tak balik. Raya haji baru ini pun aku tak datang. Aku beraya dengan keluarga di belah suami sahaja. Dulu aku sentiasa terbuka menerima baik dan buruk mak ayah.

“Sebab seburuk mana pun, mereka tetap mak ayah yang sudah membesarkan aku. Tetapi selepas tahu apa yang menimpa kakak, aku jadi tak boleh terima. Nak panggil ayah pun tak sanggup. Mungkin ramai lagi mangsa ayah aku di luar sana. Ayah aku hanya bernasib baik sahaja kerana tak bertemu buku dengan ruas.

“Mungkin di atas dasar kasihan atau orang tak percaya dengan perbuatan ayah aku itu. Sebab ramai sahaja orang cakap ayah aku ini baik. Mak pula pandailah mainkan emosi supaya orang kasihankan dia. Aku ini anak yang duduk lama dengan mak dan ayah. Jadinya aku kenal perangai ayah lebih dari kakak dan abang.

“Sepatutnya ayah memang layaklah disebat dan dipenjara. Apakah pendapat kamu semua? Apa harus aku buat? Perlukah aku maafkan dan buat seperti tiada apa-apa berlaku? Sedangkan nak pandang muka pun aku tak berdaya.” Soal Nona (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Demi isi perut kosong, pemuda buang rasa malu, minta kerja masa tengah cuti sambil kesat air mata