Makan pagi serawa durian di Kedai Kopi Tepian Bangi

Oleh BORHAN AHMAD

Mahu sarapan di mana? Apa kata pagi ini cubalah singgah di Kedai Kopi Tepian Bangi. Seawal pukul 7 pagi segala juadah mulai tersedia.

Lauk pauk untuk nasi lemak yang menjadi tumpuan pelanggan.Orang ramai sudah memenuhi hampir kebanyakan meja di restoran yang bertemakan warna hitam dan jingga ini ketika Malaysia Dateline tiba jam 7.40 pagi tadi.

Jika nasi lemak dan mihun goreng sudah terlalu lumrah buat anda, cubalah nikmati kelazatan pulut kuning yang hadir dengan rendang ayam sebagai pelengkapnya.

Paling menarik, kedai kopi di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi ini turut menawarkan serawa durian yang boleh dijamah bersama pulut yang masih panas.

Anda juga boleh mencuba keenakan roti bakar atau roti canai sambil melayari internet dengan Wi-fi percuma.

Bersama kehangatan secawan kopi di hujung minggu, desiran air pancut dari lanskap indah di satu sudut restoran ini menemani ‘jelajah rasa’ anda sekeluarga. Damai, bukan? Persekitaran yang tenang sudah bertaut dengan enaknya rasa.

Namun, jika tidak sempat menjamu selera di pagi hari, anda boleh bertandang di sini bila-bila masa kerana waktu perniagaan restoran ini hanya akan berakhir pada jam 2 pagi.

Tepian Bangi sangat sesuai untuk jadi destinasi makan pagi.