Makcik geram pelanggan lempar makanan, mengamuk lepas kantoi tipu bayar guna QR

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga makanan mengalami kerugian kira-kira RM85 selepas ditipu oleh pelanggan yang menggunakan kaedah ‘QR Pay’ untuk membuat pembayaran.

Lebih memburukkan keadaan, pelanggan berkenaan malah berlakon seperti mangsa dan bertindak mengamuk di gerai milik peniaga itu selepas tipu helahnya terbongkar.

Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, peniaga terbabit memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku ketika dia meniaga di sebuah pasar malam, baru-baru ini.

Pelanggan itu kemudian mendatangi gerainya dan memesan sebanyak empat jenis makanan berjumlah RM85 sebelum membuat pembayaran menggunakan ‘QR Pay’.

“Ini kurang ajar. Saya kena ‘scam’ (tipu). Dia datang ke kedai dan pilih ayam, ramen, nasi serta set ayam keju korea. Semua sekali harga RM85. Selepas itu dia kononnya bayar guna QR.

“Ketika itu, orang tengah ramai. Dia cakap sudah bayar. Tetapi saya perasan, dekat skrin telefon dia masih terang-terang tulis pay (bayar). Maknanya, dia belum tekan untuk membuat bayaran.

“Selepas itu, dekat telefon saya juga tak masuk (notifikasi pembayaran) sebab tiada bunyi. Saya semak akaun pun tiada transaksi itu,” kata peniaga dikenali sebagai Mok Yuss itu menerusi hantaran di TikTok.

Pelanggan berkenaan dikatakan mahu terus beredar daripada kedai tetapi dihalang Mok Yuss selepas mendapati tiada kemasukan wang di dalam akaun bank miliknya.

Selepas taktik penipuannya terbongkar, pelanggan itu langsung tidak meminta maaf sebaliknya mengamuk dan bertindak melemparkan makanan yang sudah diambilnya.

“Saya cakap dekat dia, pembayaran tak masuk (dalam akaun). Jadinya, tak bolehlah bawa makanan itu. Tetapi dia cakap sudah bayar. Saya kata kalau sudah, mesti ada masuk (notifikasi). Mari saya tengok semula (maklumat transaksi).

“Selepas itu, dia tiba-tiba menjerit apabila saya kata duit belum masuk. Dia macam ‘play victim’ apabila sudah kantoi. Kemudian dia baling makanan itu atas meja jualan dengan pelanggan tengah ramai.

“Kita pun apa lagi, sudah geram jadi ambillah senduk nak hempuk dia. Tetapi orang ramai tahan. Selepas kejadian itu, tak tahu ke mana dia pergi entah dibawa polis ke apa.” Kesalnya.

Setakat artikel ditulis, perkongsian oleh Mok Yus itu telah berjaya meraih 3.5 juta tontonan dari pengguna TikTok dengan rata-ratanya memberikan cadangan agar peniaga terbabit menggunakan ‘sound box’.

Peralatan elektrik tersebut dikatakan akan mengeluarkan bunyi setiap kali transaksi secara QR Pay daripada pihak pelanggan berjaya dipindahkan ke dalam akaun bank milik peniaga.

Baca juga: Wanita hamil hilang didakwa disorok makhluk halus, rupa-rupanya bawa diri sebab terasa hati dengan mak