Malaysia-Asean harus tegas isu Rohingya, saran Nik Nazmi

Oleh MALAYSIADATELINE

Nik Nazmi Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

Malaysia dan negara-negara Asean harus mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan tragedi Rohingya yang berlaku di Myanmar.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata,Kerajaan Malaysia harus menyokong tindakan untuk membawa pelaku kekejaman di Myanmar ke muka pengadilan.

“Selain terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian, kerajaan juga harus mendorong Asean untuk mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sana.

“Secara khususnya, Perkara 2(2)(e) dalam Piagam Asean dan fasal-fasal lain yang menghuraikan apa yang digelarkan sebagai prinsip tidak campur tangan dalam ‘hal ehwal dalam negeri’ negara anggota mesti dipinda untuk mengecualikan kes-kes melampau—seperti pembunuhan beramai-ramai. Itulah tindakan yang tepat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang Ahli Parlimen Setiawangsa berkata,Asean merupakan platform terbaik untuk menamatkan penderitaan Rohingya dan konflik lain di Myanmar.

Oleh itu, Malaysia dan Asean ujarnya, tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk menamatkan kekejaman yang berlaku di Myanmar.

“Penindasan dan pembunuhan harus dihentikan, pergaduhan diakhirkan, golongan yang ditempatkan semula pulang ke kampung halaman dan kedamaian serta perpaduan diwujudkan di Myanmar.

“Sekiranya pemimpinnya enggan berbuat demikian, masyarakat antarabangsa harus masuk campur,” tegasnya.