“Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia, ada bahasa sendiri, tetapi segan digunakan” – KP DBP

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat anak muda atau kanak-kanak zaman sekarang sudah diajar untuk fasih berbahasa Inggeris hingga bertutur dakam bahasa Melayu pun ada pelatnya.

Ini seolah-olah mengajar anak-anak yang masih muda ini untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama dipelajari.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari melihat seolah-olah rakyat Malaysia segan akan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Memetik Astro Awani, beliau menganggap situasi itu jelas menunjukkan penjajahan minda serta menyerlahkan krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu.

Pada masa sama beliau mengingatkan bahawa negara maju seperti Perancis, China, Jepun menggunakan bahasa kebangsaan mereka dan bukan bahasa Inggeris.

“Saya terasa pelik dan terasa agak terkejut … Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia, ada bahasa sendiri, tetapi segan digunakan.

“Mungkin anda pernah pergi ke negara seperti Perancis, China, Jepun, Thailand dan sebagainya.

“Di negara yang maju ini mereka bangga menggunakan bahasa mereka sendiri, tapi di Malaysia kita sangat segan menggunakan bahasa kita,” katanya dalam siaran bersama Agenda AWANI.

Dalam pada itu, Hazami memaklumkan pihak DBP telah merancangkan pelbagai program dan kegiatan pada masa hadapan, khususnya pemantapan prasarana kebangsaan dan kesusasteraan.

“Jati diri bangsa terletak pada ukur tara bahasa, bangsa dan kesenian, jadi majunya bangsa itu bukan setakat sains dan teknologi tetapi juga dari sudut pemikiran dan budaya.

“Maka bahasa yang kita laksanakan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perlu kita angkat, martabat dan perkasakan, dan peruntukan inilah yang kita guna sepenuhnya,” katanya.

Baca juga: Tak pernah malu kerja sebagai pekebun sawit, anak muda ini mampu raih RM7,000 sebulan