Malaysia kerjasama dengan sekutu Israel halang ancaman militan

Oleh BORHAN AHMAD

Persetujuan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadikan negara ini sebagai pusat yang berperanan melaksanakan aktiviti-aktiviti anti-keganasan dilihat akan mempengaruhi kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara pada masa depan.

Semalam, selepas rundingan bersama Presiden AS, Najib Razak menyatakan akan meningkatkan kerjasama dua hala dengan negara sekutu Israel itu dalam pelbagai bidang  terutama memerangi ancaman radikalisasi dan keganasan.

“Seperti diketahui wujud kumpulan militan yang beroperasi di rantau ini yang mempunyai persamaan operasi dengan kumpulan militan IS (negara Islam) yang ideologinya bercanggah dengan Islam sebenar,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas rundingan tersebut.

Menurut Najib, keputusan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Serantau Digital bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) itu bagi menangani penyebaran propaganda ekstremisme dan keganasan di rantau ini.

Penubuhan pusat itu juga, jelasnya, berperanan untuk mendidik masyarakat kerana usaha memerangi keganasan bukan sahaja melibatkan tindakan ketenteraan tetapi juga memenangi hati dan minda rakyat.

Sementara itu, Obama berkata, AS bersedia untuk membantu Malaysia dalam usaha membanteras kumpulan pengganas seperti IS.

Mengiktiraf peranan Malaysia di peringkat dunia dalam perdebatan mengenai keganasan, beliau berkata, Malaysia dan Indonesia merupakan negara majoriti penduduk Islam yang melambangkan toleransi dan keamanan.

“Usaha ini penting ketika dunia mengalami ancaman keganasan. Malaysia boleh menggunakan khidmat ulama dan bijak pandai menerusi media sosial atau perantaraan lain bagi mengekang penyebaran pengaruh serta ancaman militant terutama melalui media sosial,” ujarnya.

Obama juga pada masa sama berharap jalan penyelesaian bagi isu di Laut China Selatan akan dapat dicapai antara kesemua pihak mengikut peraturan maritim antarabangsa walaupun beliau mengakui AS bukan salah satu daripada negara yang terlibat dalam pertelingkahan berkaitan tuntutan bertindih di perairan tersebut.

Terdahulu, kehadiran Obama di Malaysia petang semalam turut mengundang kemarahan pengguna jalan raya apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Trafik sekitar ibu negara lumpuh selepas Lebuhraya Persekutuan dari Subang ke arah pusat bandar ditutup mulai pukul 4 petang. Kesesakan teruk juga dilaporkan di jalan-jalan lain seperti Jalan Imbi, Jalan Kinabalu dan Jalan Sultan Ismail.