Baru-baru ini, sebuah platform yang mengumpul maklumat berkaitan pelaburan iaitu Insider Monkey telah mengeluarkan senarai 15 negara majoriti Islam terkaya di dunia.
Kedudukan negara ditentukan mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita 2024 yang diambil dari pangkalan data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Penilaian itu dibuat berdasarkan pariti kuasa pembelian (PPP) dengan menolak perbezaan harga dan perubahan mata wang tempatan berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS).
Siapa sangka, Malaysia berada di kedudukan selesa dalam senarai berkenaan malah turut tergolong sebagai salah satu daripada 10 negara majoriti Islam terkaya dunia.
Berikut adalah kedudukan Malaysia dalam senarai negara majoriti Islam terkaya dunia;
1. Qatar – KDNK Per Kapita : USD$118,150
2. Emiriah Arab Bersatu (UAE) – KDNK Per Kapita : USD$92,950
3. Saudi Arabia – KDNK Per Kapita : USD$71,370
4. Bahrain – KDNK Per Kapita : USD$62,750
5. Kuwait – KDNK Per Kapita : USD$53,760
6. Turkiye – KDNK Per Kapita : USD$43,620
7. Oman – KDNK Per Kapita : USD$40,020
8. Malaysia – KDNK Per Kapita : USD$39,070
9. Kazakhstan – KDNK Per Kapita : USD$34,480
10. Libya – KDNK Per Kapita : USD$26,530
11. Iran – KDNK Per Kapita : USD$20,690
12. Mesir – KDNK Per Kapita : USD$17,790
13. Indonesia – KDNK Per Kapita : USD$16,840
14. Algeria – KDNK Per Kapita : USD$14,230
15. Tunisia – KDNK Per Kapita : USD$13,690
Menurut laporan tersebut, Malaysia merupakan salah satu ekonomi terbesar di dalam kalangan negara Islam yang memiliki KDNK sebanyak USD$1.31 trilion dan diunjurkan berkembang 4.30 peratus pada tahun 2024.
Negara ini juga berjaya berada di kedudukan kelapan di antara negara Islam terkaya di dunia dengan KDNK per kapita sebanyak USD$39,070 atau sekitar RM169,173.10.
Malaysia turut berjaya memintas kedudukan negara dengan populasi Muslim terbesar dunia iaitu Indonesia yang berada di tangga ke-13 dalam senarai (KDNK per kapita RM72,917.20).
Semoga ekonomi Malaysia terus stabil dan berkembang supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan wilayah majoriti Islam lain seterusnya menyumbang kepada ‘kekayaan’ negara.
“Negara-negara Islam mempunyai impak yang agak besar terhadap geopolitik dan ekonomi global kerana memiliki penduduk yang ramai, sumber asli dan juga kepentingan strategik.” Kata laporan itu.
Baca juga: Data dedah lebih 4 juta rakyat Singapura masih memilih Malaysia untuk melancong