Malaysia negara ke-13 pemulihan Covid-19

Oleh ARIF ATAN

Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 122 negara atau wilayah dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, yang mengukur tahap pemulihan sesebuah negara daripada pandemik membawa maut itu.

Sebanyak 66.5 mata diperoleh negara ini dalam indeks oleh Nikkei Asia.

Angka tersebut adalah tertinggi bagi negara Asean selepas mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Menerusi ciapan di Twitter Nikkei Asia memaklumkan rekod yang lebih tinggi bagi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan.

Indikator pemulihan itu berdasarkan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat.

Bagi negara Asean, Kemboja berada di kedudukan ke-22 dengan 63 mata, Singapura di tangga ke-23 (62 mata), Thailand ke-30 (60.5 mata) dan Indonesia ke-53 (54 mata).

Selain itu, Filipina di tangga 59 (53 mata), Myanmar di tangga 90 (44.5 mata), Vietnam di tangga 118 (35 mata) dan Laos di tangga 120 (33.5 mata).