Bayangan yang diberikan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohammad Nazifuddin Najib, bahawa Malaysia mungkin hilang hak menjadi tuan rumah acara sukan pada masa depan jika ia terus menghalang kemasukan atlet Israel ke Malaysia mencetus kebimbangan ramai pihak.
“Seolah wujud satu desakan kepada kerajaan untuk menerima masuk atlet Israel dengan memberi visa kepada mereka, ” kata Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali dalam isu kemasukan atlet Israel ke negara ini.
Bagi beliau, kerajaan Malaysia perlu bertegas, dan menolak sebarang permohonan mana mana pihak untuk membenarkan kemasukan warganegara Israel ke dalam negara.
Katanya, tindakan kerajaan sebelum ini yang menyertai Expo Dubai 2020 yang turut disertai Israel amat melukakan ramai pihak termasuk aktivis kemanusian Palestin, kesilapan seumpama tidak sewajarnya berulang, bahkan dengan tindakan lebih teruk membenarkan warganegara Israel memasuki Malaysia secara sah.
Pada 2019, kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Pakatan Harapan, Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini, biarpun telah dilucutkan hak penganjuran oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa, kerajaan tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Ketegasan sama perlu diguna pakai oleh kerajaan hari ini bagi menghalang sebarang usaha untuk membenarkan kemasukan warga Israel ke Malaysia,” kata beliau.
Pemuda AMANAH Terengganu juga, katanya, cukup kesal dengan sikap Pas dalam soal solidariti Palestin hari ini, samada dalam soal penyertaan dalam EXPO Dubai 2020 yang dibawah Kementerian MOSTI dimana ahli parlimen PAS menjawat Timbalan Menteri, mahupun dalam soal kemasukan atlet Israel, yang berdiam diri hari ini.
“Solidiriti perjuangan Palestin tidak harus hanya berakhir di mimbar masjid atau pada tulisan semata, bahkan seharusnya menggunakan pengaruh kuasa yang ada untuk menegakkannya,” kata beliau.