Malaysia sedang menuju sasaran 25 negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah

Oleh ARIF ATAN

Usaha kerajaan MADANI dalam memerangi korupsi ibarat sedang menuai hasil walaupun hangat sentimen kebencian terhadap Perdana Menteri sehingga tergamak menjulang plakad “Bapa Pembebasan Perasuah” dilatari karikatur mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Malaysia sebenarnya sedang menuju sasaran untuk berada dalam senarai negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

Matlamat untuk Malaysia berada dalam kelompok 25 negara terbaik dalam CPI itu dizahirkan Perdana Menteri ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai 2023.

Tuaian awal hasil iltizam kerajaan dalam menghambat golongan penyakau dapat dilihat pada CPI 2023 apabila negara kita berada di tangga 57 daripada 180 negara.

Kedudukan itu meningkat lebih baik berbanding tangga ke-61 pada 2022 dan 62 pada 2021.

Mungkin mereka yang hanya tahu mengecam kerajaan MADANI tidak pernah melayari Pangkalan Data Pesalah Rasuah yang disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan pangkalan data itu, sebanyak 183 profil pesalah disenaraikan pada 2024, 131 maklumat lagi direkodkan pada 2023 dan 39 profil individu yang disabitkan rasuah pada 2022. 

Peningkatan senarai profil itu setiap tahun bukti kerajaan tidak cuba menyembunyikan pesalah malah sebagai peringatan kepada warganegara agar mengambus keinginan untuk menjadi sebahagian daripada statistik SPRM. 

Kesemua hebahan mengenai pesalah rasuah itu lengkap dengan gambar mereka serta kategori sama ada penjawat awam, swasta atau orang awam selain maklumat mengenai majikan, jawatan, pertuduhan dan hukuman yang dikenakan. 

Menurut Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf,  seramai 2,163 penjawat awam ditangkap dari tahun 2019 hingga 2023 atas pelbagai kesalahan rasuah.

Jumlah tangkapan penjawat awam itu pula mewakili hampir separuh iaitu 43.3 peratus daripada keseluruhan iaitu 4,996 individu dalam tempoh yang sama.

Penjawat awam terbabit ditangkap antara lain kerana meminta dan menerima suapan, membuat tuntutan palsu, salah guna kuasa serta menawar dan memberi suapan.

Tangkapan terhadap ribuan individu yang terjebak dalam jenayah rasuah itu bukti usaha kerajaan dalam memperbaiki tadbir urus dan ketelusan sedang membuahkan hasil.

Keazaman kerajaan MADANI dengan barisan Kabinet Perdana Menteri yang terdiri daripada 28 menteri dalam memastikan keadilan, integriti, dan ketelusan sebagai asas tadbir urus negara tercapai turut dikagumi negara luar.

India yang berada di tangga ke-93 dalam CPI 2023, baru-baru ini meluahkan hasrat untuk mendapatkan khidmat latihan dan mengikuti kursus antarabangsa ditawarkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di bawah SPRM.

Pembabitan SPRM dengan organisasi antarabangsa merupakan salah satu petunjuk bahawa tekad Perdana Menteri dalam memerangi jenayah rasuah bukan hanya sembang kosong seperti kerap dimomokkan pembangkang.

Pencapaian membanggakan

Hasil sehingga tahap sifar pesalah rasuah tidaklah adil untuk dibebankan kepada era pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dua tahun dua bulan menerajui Kerajaan Persekutuan.

Namun, sudah terdapat tanda-tanda positif serta pencapaian membanggakan untuk Malaysia mencapai kedudukan lebih baik dalam CPI bagi tahun-tahun mendatang.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Paling ketara, Perdana Menteri berulang kali menegaskan bahawa beliau memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan siasatan teliti.

Ini bermakna tiada campur tangan politik dalam SPRM bagi menjamin suruhanjaya itu bebas bertindak adil dan telus dalam semua siasatan, termasuk terhadap ahli kerajaan sendiri.

Hal yang pembangkang nampaknya sengaja tidak pedulikan apabila Perdana Menteri telah menekankan bahawa Dasar Kerajaan MADANI adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang bersih dan langsung tidak terbabit dengan unsur rasuah.

Perdana Menteri memberi laluan sepenuhnya kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terbabit rasuah selepas siasatan lengkap dilakukan.

Bahkan, kerajaan tidak akan mengambil peduli terhadap suara yang lantang mengecam usaha membanteras rasuah yang ditangani secara telus dan adil.

Kebebasan berterusan badan kehakiman di negara ini juga terbukti apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan akan terus komited menegakkan prinsip kebebasan kehakiman.

Beliau semasa berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025 pada 8 Januari lalu turut mengimbau pendirian Anwar pada 2010 sebagai Ketua Pembangkang ketika itu yang membangkitkan kebimbangan mengenai ketidaktelusan dan kemungkinan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim.

Dalam tatakelola berintegriti pula, pembaharuan sistem perolehan kerajaan menyaksikan langkah mengurangkan pemberian projek secara rundingan terus kecuali dalam keadaan yang benar-benar perlu.

Dalam masa sama, penggunaan sistem tender terbuka diberi penekanan bagi semua projek kerajaan untuk mengurangkan ruang manipulasi.

Melalui pelbagai indikator dan pencapaian, terbukti kerajaan MADANI telah, sedang dan akan membanteras jenayah rasuah sehingga layak diiktiraf dalam senarai 25 teratas dunia dalam CPI.

Hanya kita sebagai warganegara harus mengambil peranan aktif dan membudayakan integriti dalam kehidupan seharian bukannya hanya menuding jari apatah lagi terperangkap dalam kebencian politik kepartian.

baca: gempa-bumi-Putrajaya