Malaysia serius tangani ancaman digital, fokus lima isu kritikal perhebat Kempen Keselamatan Internet

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia terus memperkukuh keselamatan digital negara dengan memperluas Kempen Keselamatan Internet melalui pelbagai inisiatif yang menekankan advokasi dan penglibatan komuniti dalam menangani ancaman siber yang semakin meningkat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu bertujuan memastikan persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai demi melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kempen ini memfokuskan kepada lima isu kritikal: penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun, sambil menggalakkan pengawasan ibu bapa yang lebih meluas.

“Menjamin persekitaran digital yang selamat dan dipercayai bukan lagi pilihan. Ia penting untuk melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya dalam Mesyuarat Telekomuniti Asia Pasifik Peringkat Menteri di Tokyo, Jepun.

Kempen Keselamatan Internet merupakan program kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan dalam talian, khususnya dalam kalangan pelajar dan keluarga.

Bagi memperluas jangkauannya, Malaysia turut melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Internet pada Januari 2025 yang melibatkan forum interaktif dan sesi libat urus bersama pelajar serta orang awam.

“Untuk memperluas jangkauannya, Jelajah Kempen Keselamatan Internet yang dilancarkan pada Januari 2025 menampilkan forum interaktif dan sesi libat urus bersama pelajar dan orang ramai untuk menggalakkan keselamatan dalam talian dan tingkah laku digital yang bertanggungjawab.”

Fahmi berkata, langkah ini sejajar dengan usaha berterusan kerajaan untuk menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan digital, termasuk penyebaran maklumat palsu, buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.

Menurut Fahmi, bagi menggalakkan kebertanggungjawaban platform dalam talian, Malaysia telah memperkenalkan Rangka Kerja Kawal Selia untuk Penyedia Perkhidmatan Mesej Internet dan Media Sosial.

Ia memerlukan semua perkidmatan mesej internet dan penyedia perkhidmatan media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi
(ASP (C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, dasar yang berkuat kuasa sejak Januari 2025 itu memastikan platform utama mematuhi undang-undang Malaysia dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk mengurus kandungan.

Jelasnya, Malaysia juga membangunkan Tata Kelola (Amalan Terbaik) untuk Pemesejan Internet dan Pembekal Perkhidmatan Media Sosial (CoC) yang diterbitkan pada 20 Disember 2024.

Baca juga: “Suami cuma ada aku masa gaji RM800… sekarang gaji RM15K, dia sibuk cari calon lain”