Malaysia tidak boleh berkecuali isu konflik negara Islam

Oleh Oleh MOHD ALI HASHIM

Malaysia perlu aktif di pentas dunia Islam membantu mencari penyelesaian bagi mencapai perdamaian sama ada secara sesama negara-negara Islam maupun antara negara Islam dengan Israel.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, Malaysia tidak boleh berkecuali dalam isu atau konflik di Timur Tengah atau pun negara-negara Islam.

“Timur Tengah serta dunia Arab itu merupakan negara Islam dan konflik di kawasan ini adalah tanggungjawab negara-negara Islam untuk menyelesaikannya.

“Berkecuali atau berdiam diri sebetulnya tdak akan menyelesaikan dan tidak dapat membantu mencapai sebarang keamanan,” katanya.

Untuk rekod, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Februari lalu berkata, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak berpihak kepada mana-mana pihak atau negara terbabit dalam krisis yang berlaku antara negara ‘sahabat’ di Timur Tengah.

Sebaliknya, Presiden Pas itu pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosiaopolitik 2021 (CIMS 2021) secara maya anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Malaysia lebih mengharapkan usaha penyelesaian dan menjaga perpaduannya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, penyelesaian Islam hendaklah dijadikan pilihan setelah gagalnya ideologi ciptaan manusia diimport khususnya dari Timur Tengah yang dahulunya berpecah-belah mengikut ideologi blok perang dingin.

Mengulas lanjut, Dr Zaidi berkata sifat orang mukmin sebenarnya ialah berusaha mendamaikan kedua-dua pihak yang saling bersengketa.

“Sifat ini juga terpakai bagi sesebuah negara Islam, malah seandainya kedua-dua buah negara bersengketa, maka Malaysia perlu berusaha untuk mendamaikan kedua-duanya, ” ujar beliau.

Tegasnya lagi, tanggungjawab seorang pemimpin negara Islam bukannya berkecuali atau pun ‘playsafe’.