Mana lebih 40,000 komputer riba yang dijanjikan, soal pemuda AMANAH Perak

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Sehingga hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Radzi Jidin masih lagi belum mengemas kini perkembangan 40,290 komputer riba yang dijanjikan akan diagih kepada pelajar yang layak selewat-lewatnya pada 12 Jun lalu.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, ia sangat mengecewakan apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah dilanjutkan sehingga 26 Julai tetapi masalah peranti Tabung Cerdik masih tidak menemui penyelesaian.

“Sudahlah rakyat negeri Perak dikecewakan dengan telefon pintar yang diberikan berkualiti cap ayam, kini satu Malaysia bakal dikecewakan dengan kerajaan PN apabila menunggu peranti Tabung Cerdik yang tidak kunjung tiba.

“Maka benarlah kerajaan PN sebuah kerajaan yang gagal. Sudahlah vaksin gagal diagihkan akibat kekurangan bekalan, kini peranti Tabung Cerdik gagal diagihkan mengikut jalur masa yang mereka sendiri tetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada awal Jun lalu, KPM memaklumkan sudah selesai mengagihkan 12,887 unit laptop kepada murid daripada keluarga B40 di 95 sekolah dalam 51 pejabat pendidikan daerah di seluruh negara.

Radzi berkata, baki sejumlha 40,290 unit lagi akan diagihkan selewat-lewatnya pada 12 Jun ini.

Dalam pada itu, Mohd Ikhmal menggesa agar segala kegagalan kerajaan dibahaskan di Dewan Rakyat agar ia dapat diperdebatkan oleh setiap Ahli Parlimen dan segera menemui jalan penyelesaian.

Tegasnya, jika masih gagal menemui jalan penyelesaian, adalah lebih baik untuk kerajaan PN berundur dan beri peluang kepada pihak lain untuk menguruskannya.