Mangkubumi, rundingan terus dan projek Puspahanas

Oleh KIM SYAZIE

Rafizi Ramli telah mendedahkan mengenai projek membabitkan syarikat Mangkubumi (projek tebatan banjir Krubong bernilai RM578.6 juta dan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM2 bilion) yang diberikan secara rundingan terus.

Rafizi juga menyebutkan bahawa syarikat Mangkubumi ini juga adalah syarikat yang lemah dari segi pengurusan kewangan.

Rundingan terus ini adalah satu penyakit besar dalam kerajaan.

Rundingan terus perolehan kerajaan sepatutnya hanya membabitkan hal-hal spesifik yang mana kerajaan tiada pilihan lain contohnya membabitkan hal harta intelek yang telah didaftarkan atas nama syarikat itu.

Semasa PH memerintah 22 bulan, PH telah memperkenalkan dasar tender terbuka dan tender terhad.

Malah, PH juga berusaha untuk menggubal Rang Undang-Undang Perolehan.

Namun, setelah Langkah Sheraton berlaku, RUU Perolehan ini pun tidak tahu lagi apa kisahnya.

PM Mahiaddin Yasin dan PM Ismail Sabri langsung tidak menyebut lagi hal RUU Perolehan ini. Projek rundingan terus ini sebenarnya membuka ruang kepada ketirisan wang kerajaan yang bukan sedikit.

Sebab itu, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM beliau harus mengembalikan dasar tender terbuka dan tender terhad ini dan menggubal RUU Perolehan Kerajaan untuk memastikan sesiapa pun menjadi kerajaan akan datang selepasnya akan terikat dengan dasar tender terbuka dan tender terhad.

Kalau kita masih ingat, JKSTUPKK pernah mendedahkan bagaimana bermasalahnya rundingan terus yang melibatkan perbelanjaan ratusan juta malah bilion wang kerajaan.

Jikalau dasar tender terbuka dan tender terhad ini dibuat pastinya ramai pelobi projek kerajaan ini akan berputih mata.

Pelobi kerajaan ini akan menaikkan harga kontrak dan menteri akan sain sahaja asalkan komisen dibayar.

Akhirnya, rakyat yang akan rugi disebabkan projek rundingan terus ini dibuat tanpa mengira kepada kepentingan pengguna.

Syarikat yang dipilih pula tidak kukuh kewangan dan mereka dipilih kerana mereka rapat dan boleh bagi komisen kepada menteri.

Salah satu contohnya adalah projek Puspahanas (dulu kawan selalu buat joke, projek ini bukannya PuspaHANAS tetapi sebenarnya PuspaNAHAS sebab berpuluh tahun projek ini berjalan tapi tak siap-siap).

Puspahanas ini adalah singkatan kepada nama Pusat Pengajian Pertahanan Nasional

Projek Puspahanas tertangguh sejak 1997

Pada tahun 1997, Kabinet telah bersetuju untuk membina Puspahanas di Taman Templer, Selangor bagi tujuan menyediakan kemudahan latihan yang selesa kepada angkatan tentera.

Cadangan ini sudah bermula pada tahun 1971, tetapi telah tertangguh disebabkan masalah tapak dan ekonomi.

Tahun 1993, MINDEF bersetuju untuk melaksanakan projek ini secara kaedah penswastaan.

Akhirnya, pada tahun 1997 MINDEF bersetuju menggunakan kaedah land swap tanah Kementerian Pertahanan di Bukit Raja yang bernilai RM100 juta.

Laporan Audit Negara 2014 menyatakan syarikat Awan Megah Sdn Bhd telah dipilih.

Laporan NST pada 19 Jun 2019 menyatakan syarikat Awan Megah Sdn Bhd adalah syarikat kepunyaan bekas pimpinan Umno Selangor iaitu Senator Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Pada tahun 2001, syarikat ini telah memohon kepada kerajaan untuk menilaikan semula tanah ini disebabkan krisis ekonomi dan permintaan syarikat ini diterima oleh MINDEF.

Harga tanah diturunkan kepada RM72.5 juta walaupun projek bernilai RM100 juta.

Kekurangan lebih kurang RM26 juta itu akan ditampung secara peruntukan kerajaan. Kerajaan juga meminta syarikat ini memberikan bon tanah sebagai jaminan.

Perjanjian Penswastaan telah ditandatangani pada Disember 2005 dan sepatutnya projek ini siap pada September 2008.

Namun, projek Puspahanas hanya siap pada zaman PH iaitu tahun 2019

Walaupun 22 bulan itu orang kata PH tidak pandai memerintah dan sebagainya tetapi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menunjukkan kemampuannya menyelesaikan projek sakit yang sepatutnya siap pada tahun 2008.

Maknanya projek ini sudah sakit selama 21 tahun. Bayangkan betapa sengsaranya para angkatan tentera selama 21 tahun.

Pada tahun 2014, masalah Puspahanas ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara.

Menteri Pertahanan pada waktu itu yang juga Menteri Pertahanan sekarang iaitu Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya sekadar mengeluarkan kenyataan MINDEF akan memberikan kerjasama tetapi sehingga BN jatuh pun pada 2018 projek ini masih tak siap-siap.

Sebab itu, BN perlu direhatkan sementara daripada memerintah dan berilah peluang kepada DS Anwar dan PH untuk membetulkan kembali institusi dan aset kerajaan yang banyak terbengkalai.

JKTUPKK telah mendapati wujud kelemahan tadbir urus kewangan yang mana jumlah RM26 juta itu telah dibayar habis oleh kerajaan walaupun projek tidak siap. Bon tanah juga telah tamat tempoh.

Tahun 2014, Ketua Audit Negara telah melaporkan bahawa unsur ketidakpatuhan pentadbiran kewangan.

Pada 8 November 2010, syarikat ini telah menghantar surat kepada Menteri Pertahanan waktu itu supaya wang RM26 juta dibayar.

JKSTUPKK berpandangan bahwa kepentingan kerajaan tidak dilindungi kerana pembayaran dibuat walaupun projek tidak siap.

Kelewatan kesiapan projek Puspahanas ini telah menyebabkan kerugian kepada MINDEF kerana terpaksa menyewa bangunan lain dengan kadar sewaan kira-kira RM95 ribu sebulan.

Satu perkara yang ada persamaan dengan kes Mangkubumi adalah kelemahan kewangan syarikat itu sendiri

Due diligence tidak dibuat ke atas syarikat malah Kementerian Kewangan pada masa itu pun memberikan pandangan bahawa syarikat ini tidak boleh diberikan projek itu.

Apa yang lebih teruk adalah land swap telah dibuat kepada syarikat meskipun projek tidak siap.

Tanah MINDEF di Bukit Raja, Klang seluas 223.33 ekar telah dipindah milik kepada syarikat pada tahun 2015.

Sebab itu, apabila Rafizi mendedahkan hal projek oleh Mangkubumi ini sepatutnya kita semua trigger dengan ketelusan.

Projek tebatan banjir ini tidak memerlukan ianya dibuat secara rundingan terus. Projek ini boleh dibuat dengan tender terbuka.

Apa yang dikesali adalah sehingga kini KASA yang menterinya Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man (Pas) memilih untuk menyaman Rafizi berbanding untuk memberikan penjelasan terbuka.

Dato’ Tuan pula hanya menjawab di pentas media sosial atau pentas ceramah. Sepatutnya Dato’ Tuan memanggil sidang media khas untuk menjelaskan hal ini.

Dato’ Tuan tidak boleh sekadar menyatakan bahawa projek ini telah dimulakan pada tahun 2016 dan beliau hanya sain Surat Setuju Terima tanpa mengambil tanggungjawab terhadap apa yang ditandatangani.

Doktrin Ministerial Responsibility adalah terpakai bagi Dato’ Tuan.

Budak-budak TikTok yang tidak faham bagaimana sistem rundingan terus ini berfungsi terus membela Dato Tuan bahawa kononnya rundingan terus ini dibenarkan oleh kerajaan.

Memang betullah rundingan terus ini dibenarkan tetapi soalnya sekarang kenapa projek yang berbentuk kejuruteraan awam ini pun nak buat secara rundingan terus.

Kenapa tidak dibuat tender terbuka memandangkan ianya projek yang biasa sahaja. Kalau projek ini adalah bersifat teknikal seperti projek untuk buat vaksin covid-19 tidak mengapalah untuk buat rundingan terus.

Lebih parah lagi, kenapakah Dato’ Tuan tidak mendedahkan secara terbuka dokumen-dokumen berkaitan hal ini untuk membersihkan namanya.

Untuk laporan penuh JKSTUPKK (Puspahanas) boleh dimuat turun di link ini

https://www.mod.gov.my/en/land-swap

Untuk laporan Ketua Audit Negara 2014 boleh dimuat turun di link ini

https://lkan.audit.gov.my/laporan/manage/706

Link website latar belakang Puspahanas.

https://puspahanas.edu.my/v1/ms/pengenalan/latar-belakang

Link berita NST 29 Jun 2019

https://www.nst.com.my/news/nation/2019/06/500077/puspahanas-dream-now-reality

Link berita The Star 15 May 2019

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/05/15/mindef-report-21-years–but-contractor-yet-to-complete-national-defence-institute-project

Link berita Astro Awani 24 September 2015

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kementerian-pertahanan-beri-kerjasama-penuh-isu-puspahanas-hishammuddin-82286