Kecoh di media sosial hari ini susulan penularan hantaran dimuat naik oleh mangsa banjir di Kelantan tentang sikap seorang penghulu kampung yang didakwa tidak amanah berhubung barang bantuan dari Khairul Aming.
Berdasarkan rakaman dikongsikan oleh mangsa terbabit di platform TikTok, barang-barang bantuan dipercayai dari pihak Khairul Aming sampai ke lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) itu di dalam kuantiti yang banyak.
Namun sayangnya, terdapat sekumpulan individu di PPS berkenaan bertindak membuka bungkusan yang berisi barang-barang bantuan tersebut sebelum mengasingkan beberapa barangan di dalamnya.
Beberapa barangan seperti mi segera dan biskut tawar kemudian dibungkuskan semula di dalam plastik yang lebih kecil untuk dibahagikan kepada penghuni PPS tersebut manakala selebihnya disimpan pihak tertentu.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah PPS terletak di sekolah rendah di Tumpat yang masih lagi dihuni ramai mangsa berikutan kawasan itu adalah lokasi aliran sungai utama seperti Sungai Kelantan serta Sungai Golok.
“Memang teruk kena duduk dekat PPS di sebuah sekolah rendah di Tumpat ini. Banyak barang yang sampai tetapi yang diserahkan kepada mangsa banjir sedikit sahaja. Memang teruk ketua kampung di sini.
“Saya tak nafikan, musim sekarang memanglah tak cukup bekalan makanan. Tetapi barang-barang memang banyak yang sampai. Mereka sanggup asingkan barang-barang seperti di dalam video.
“Pengalaman saya sebelum ini dekat PPS, berbeza. Kalau ada barang yang sampai, perlu diagihkan dan tanda pada kad PPS. Itu tanda mangsa dapat barang bantuan. Tetapi dekat sini kad ditanda, namun barang tak dapat,” katanya.
Lebih menyakitkan hati, penghulu berkenaan dikatakan memberikan jawaban yang tidak munasabah apabila tindakannya mengasingkan barangan bantuan dipersoal oleh mangsa banjir.
Mangsa terbabit turut menegaskan bahawa perkongsian itu dibuat sekadar untuk menegakkan keadilan dan tidak mahu pembahagian yang bersifat berat sebelah seperti ini berulang lagi di masa hadapan.
“Saya sudah bertanyakan kepada Tok Penghulu, tetapi dia beritahu bahawa bantuan dari Khairul Aming ini berada di bawah tanggungjawabnya. Jadi suka hatilah dia nak buat macam mana,” kesal mangsa terbabit.
Menurut mangsa, antara barang-barang bantuan yang diasingkan sebelum diletakkan di bahagian belakang PPS oleh pihak terbabit adalah susu, milo, sardin, tin biskut, roti gardenia dan sebagainya.
Baca juga: Nabila Huda tak dambakan kulit putih melepak, bangga dengan warna kulit sendiri