MARA dituntut memberikan penjelasan tentang kemampuannya menyediakan pembiayaan pendidikan untuk pelajar Bumiputera ekoran aduan yang diterima daripada pelajar dan ibu bapa.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar-pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan oleh MARA mengenai masalah-masalah yang mereka hadapi.
“Gambaran yang saya dapati dari aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah dalam melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputera walaupun Pengerusi MARA memberikan gambaran sebaliknya.
“Salah satu aduan yang paling tinggi ialah masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkenaan pembiayaan pendidikan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.
Jelas Rafizi, pelajar-pelajar berkenaan pada asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke UniKL dengan persetujuan bahawa yuran kursus dan elaun sara hidup akan disediakan melalui pinjaman MARA.
Bagaimanapun tambahnya, setelah mereka memulakan pengajian, para pelajar terbabit masih belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan dan apabila mereka menghubungi pihak MARA, mereka dimaklumkan bahawa permohonan belum dibuka.
Di masa yang sama, ujar Rafizi, UniKL memaklumkan pelajar terbabit supaya mendapatkan pembiayaan lain dan pihak MARA menawarkan menjadi orang tengah untuk memudahcara pelajar-pelajar ini mendapatkan pinjaman pendidikan dari institusi pendidikan swasta yang kadar faedahnya tinggi dan tidak mampu ditanggung pelajar.
Pelajar terbabit juga dimaklumkan perlu meminjam dari PTPTN yang tidak menyediakan pinjaman sara hidup yang mencukupi.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, semakan yang dibuat di laman MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun yang dibuka setakat ini.
Keadaan ini, katanya menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran dari keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA.
“Apabila pihak MARA tidak berterus terang timbul kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuan MARA membiayai pendidikan Bumiputra seperti yang dimandatkan.
“Saya menyeru supaya Tan Sri Anuar Musa memberikan penjelasan segera mengenai kedudukan pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur.
“Setakat ini beliau enggan mengulas dan menguatkan lagi spekulasi bahawa MARA tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiayai pendidikan Bumiputra,” kesal Rafizi.
Sehubungan itu beliau menyeru Pengerusi MARA menyenaraikan semua skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan oleh MARA; menyatakan sama ada pelajar-pelajar UniKL akan diberikan pembiayaan seperti dijanjikan; dan menyatakan peruntukan yang diberikan kerajaan bagi membiayai pendidikan dari 2009 hingga 2016.
Rafizi menambah, bagi membantu pelajar dan ibu bapa yang menghadapi kesukaran kerana masalah pembiayaan pendidikan MARA, beliau telah melancarkan aduan dan kajiselidik mengenai pembiayaan MARA di bit.ly/AduanMARA.
“Saya jemput semua yang menghadapi masalah mengenai pembiayaan pendidikan MARA untuk mengisi maklumat di bit.ly/AduanMARA supaya saya dapat menganggarkan sejauh mana seriusnya masalah pembiayaan pendidikan MARA seperti yang diadukan sebelum ini,” ujarnya.
Rafizi juga berjanji akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuk isu pembiayaan pelajaran dan maklumat lanjut skandal pembelian hartanah MARA di Australia dalam tempoh seminggu dua ini.
“Saya cadangkan Tan Sri Anuar Musa supaya tidak mengelak dan segera memberi jawapan kerana lebih banyak perkara akan ditimbulkan selepas ini,” ujar beliau.