Mari kita beri harapan untuk semua

Oleh BORHAN AHMAD

Beri harapan, bukan putus asa kepada mereka.

Saya suka dengan bahasa dan keindahan kata-kata yang diungkap oleh teman seberang.

“Saya ingin berterus terang agar terang terus.

“Tarbiah bukan segala-galanya akan tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah.”

Ketika menulis artikel ini saya teringat sebuah kata-kata hikmah yang diungkap oleh seorang pemuda yang kini tersohor di Korea Selatan.

Beliau anak terbuang dan sejak umurnya 5 tahun beliau dipukul di rumah jagaan dan melarikan diri. Selama 10 tahun beliau hidup keseorangan dan hanya tidur di tandas awam. Tanpa ibu dan ayah mahupun adik beradik.

Apabila beliau terasa amat tertekan dan kesedihan beliau sering mendengar lagu-lagu yang disampaikan penyanyi di sebuah pusat hiburan berhampiran beliau menjual gum dan air tin. Di situ hatinya terubat.

Rupa-rupanya kata-kata yang diungkap dari hati penuh ikhlas dan dengan bahasa yang tepat dan intonasi yang baik boleh merawat hati seorang manusia.

Dia berkata;

“Kata-kata jika diungkap boleh menjadi racun dan dengan kata-kata juga boleh menghidupkan hati atau perasaan manusia”. Baginya senikata lagu boleh berikan inspirasi.

Pemuda yang terkenal itu ialah Mr Sungbong Choi..kenapa dia mampu berubah? Kerana ada tangan yang sudi menyambutnya dan berikan kata-kata harapan!

Satu hari kebetulan seorang lelaki ingin ke sebuah tandas awam amat terkejut melihat Sung sedang tidur di sebuah tandas dalam keadaan yang sangat daif. Waktu itu Sung baru berumur 15 tahun. Beliau menjadikan beliau adik angkat dan menghantarnya semula ke sebuah sekolah.

Lelaki itu berjaya memberikan hatinya sebuah harapan.

Pada tahun sekitar 2011 Sung yang suka menyanyi akhirnya memenangi pertandingan sebagai Naib Johan dalam sebuah rancangan mencari bakat. Beliau terus berkarya dan menyumbangkan sebahagian hasil pendapatannya kepada teman-teman miskin dan anak terbuang di kota Korea Selatan itu.

Apa yang boleh kita teladani ialah bahawa ungkapan kata-kata sangat besar impaknya kepada manusia.

Kata-kata seperti seperti;

“Awak akan gagal”, “Awak kelihatan hodoh”, “Awak celaka”, “Awak kelihatan bodoh”, “Awak tidak ada masa depan”, “Saya menyesal berkahwin dengan awak!”, “Awak anak tak guna”, “Awak patut masuk neraka.”

Dengar kata-kata seperti ini pula;

“Awak ada harapan”, “Awak hebat”, “Awak nampak ceria hari ini”, “Awak sebenarnya bijak”, “Saya sayang awak”, “Ayah bangga dengan kamu”, “Saya pohon maaf”, “Saya percaya awak mampu”.

Begitulah hebatnya sebuah perkataan yang disambung menjadi sebuah ayat. Boleh memberi inspirasi dan motivasi. Ianya juga boleh melukakan hati seorang insan dan mencetuskan keganasan!

Akhir sekali mari kita ambil peringatan dari Nabi Muhamad s.a.w;

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata yang bermaksud:

“Dikatakan kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam: Wahai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam! Doakanlah keburukan (laknatlah) atas kaum musyrikin.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, namun aku diutus sebagai rahmat (pembawa kasih sayang) (HR. Muslim)

Marilah kita berikan harapan baru untuk semua.